HSBC rai Tahun Baru Cina bersama pelanggan

HSBC rai Tahun Baru Cina bersama pelanggan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh HSBC Brunei

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Lebih 600 pelanggan Premier dan korporat Bank Hongkong and Shanghai Banking Corporation (HSBC), diraikan dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2016 yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, The Empire Hotel and Country Club, Jerudong, baru-baru ini.

Hadir mengalu-alukan para tetamu ialah Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Brunei, Todd Wilcox, Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Perbankan Runcit HSBC Brunei, Lyndsay Rajah serta para eksekutif terdiri daripada ahli-ahli pengurusan kanan bank berkenaan.

Todd berkata, acara itu memberikan mereka peluang untuk sama-sama meraikan sambutan yang istimewa itu dengan para pelanggan mereka dalam mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara HSBC dan pelanggan-pelanggannya dalam suasana sambutan yang meriah.

Pada majlis itu, para tetamu disajikan dengan pelbagai jenis juadah yang lazat serta dihiburkan dengan persembahan-persembahan menarik daripada para pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan dan Sekolah Menengah Chung Hua Kuala Belait.

Persembahan menarik yang memeriahkan lagi acara sambutan.
Persembahan menarik yang memeriahkan lagi acara sambutan.

Di samping itu, sebanyak 15 orang pelanggan bertuah HSBC turut membawa pulang hadiah berupa Syiling Tahun Baru Cina Istimewa dalam acara cabutan bertuah.

Majlis itu juga menyaksikan pihak bank menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dengan menghulurkan bantuan kepada tabung-tabung pendidikan beberapa buah sekolah Tiong Hwa di Negara Brunei Darussalam.

Sumbangan tersebut diserahkan ke Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan, Sekolah Menengah Chung Hua Kuala Belait, Sekolah Chung Hwa Tutong, Sekolah Chung Hwa Labi, Sekolah Chung Hwa Kiudang, Sekolah Chung Lian Sungai Liang, Sekolah Chung Ching Seria dan Sekolah Pai Yuek, Bangar.