HSBC tutup operasi di Brunei

HSBC tutup operasi di Brunei

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April – Susulan kajian semula strategik, HSBC akan menutup operasi mereka di Brunei yang terdiri daripada perkhidmatan perbankan runcit, komersil dan global.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini bank itu berkata, penutupan operasi itu bermula esok (6 April) dan selepas itu HSBC Brunei tidak akan lagi mengambil apa-apa akaun, kemudahan atau perniagaan baharu.

Penutupan tersebut tidak akan menjejaskan suasana ekonomi di Brunei tetapi sebaliknya ianya merupakan satu langkah penting dalam matlamat HSBC untuk mengoptimumkan rangkaian sejagatnya dan mengurangkan kerumitan yang dinyatakan semasa HSBC Investor Updates pada 9 Jun 2015.

Secara global, wujud suasana operasi yang sangat mencabar bagi semua bank dan strategi HSBC dibentuk untuk menyokong perdagangan dan aliran pelaburan di seluruh perdagangan utama di dunia.

Bagi mengurangkan kesan atau ketidakselesaan pada pelanggan, proses itu akan dilakukan secara berperingkat dan dari semasa ke semasa dan HSBC Brunei akan memastikan semua tanggungjawab yang sedia ada pada pelanggan dipenuhi, kata bank itu.

HSBC juga akan berhubung dengan setiap pelanggannya dalam beberapa tempoh akan datang untuk menyediakan butiran terperinci dan keperluan berkaitan perkhidmatan dan akaun mereka di HSBC Brunei.

Kakitangan HSBC Brunei terlibat dengan penutupan itu akan dilayan secara adil dan sejajar dengan nilai dan keperluan berkanun kumpulan itu, kata HSBC lagi.

ARTIKEL YANG SAMA