HSBC umum tutup khidmat lain

HSBC umum tutup khidmat lain

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Sebagai sebahagian daripada langkah pengurangan operasinya di negara ini, HSBC Brunei telah mengumumkan penutupan beberapa operasinya.

Menurut kenyataan dalam laman sesawang HSBC Brunei, operasi Mesin Deposit Cek akan ditutup pada 19 Mei ini yang mana kesemua deposit cek akan diproses di kaunter-kaunter cawangan atau melalui kotak drop in.

Manakala itu, operasi Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei akan dihentikan pada 1 Julai 2016 dan cawangan HSBC Kiulap akan dihentikan perkhidmatannya berkuat kuasa pada 1 Ogos 2016.

Baru-baru ini, HSBC Brunei telah mengumumkan pengurangan operasi mereka di Brunei yang terdiri daripada perkhidmatan perbankan runcit, komersil dan global perbankan sebagai salah satu kajian semula perniagaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada masa itu, penutupan tersebut tidak akan menjejaskan suasana ekonomi di Brunei tetapi sebaliknya ia merupakan satu langkah penting dalam matlamat HSBC untuk mengoptimumkan rangkaian sejagatnya dan mengurangkan kerumitan yang dinyatakan semasa Kemas Kini Pelabur HSBC pada 9 Jun 2015.

Secara global, wujud suasana operasi yang sangat mencabar bagi semua bank dan strategi HSBC dibentuk untuk menyokong perdagangan dan aliran pelaburan di seluruh perdagangan utama di dunia. Pengurangan Operasi bermula 6 April 2016 dan HSBC Brunei tidak akan mengambil sebarang akaun baru, kemudahan dan perniagaan dari tarikh itu.

Bagi mengurangkan kesan atau ketidakselesaan pada pelanggan, proses itu akan dilakukan secara berperingkat dan dari semasa ke semasa dan HSBC Brunei akan memastikan semua tanggungjawab yang sedia ada pada pelanggan dipenuhi, kata bank itu.

HSBC juga akan berhubung dengan setiap pelanggannya dalam beberapa tempoh akan datang untuk menyediakan butiran terperinci dan keperluan berkaitan perkhidmatan dan akaun mereka di HSBC Brunei.

Kakitangan HSBC Brunei terlibat dengan penutupan itu akan dilayan secara adil dan sejajar dengan nilai dan keperluan berkanun kumpulan itu.

ARTIKEL YANG SAMA