HSL sasarkan kerja naik taraf Lebuh raya Pan Borneo

HSL sasarkan kerja naik taraf Lebuh raya Pan Borneo

KUCHING, 25 Feb (Bernama) – Pakar kejuruteraan marin dan infrastruktur Sarawak, Hock Seng Lee Bhd (HSL), menyasarkan beberapa projek bernilai tinggi tahun ini, termasuk kerja-kerja Lebuhraya Pan Borneo.

Pengarah Urusan HSL, Datuk Paul Yu Chee Hoe berkata, syarikat itu berusaha untuk mendapatkan kerja-kerja menaik taraf serta pembinaan untuk Lebuhraya Pan Borneo.

“Peluang seperti itu serta kontrak sedia ada di kawasan Tenaga Boleh Diperbaharui di Koridor Sarawak akan menambah kontrak dalam tangan untuk 2016.

“Kami mempunyai rekod kejayaan menyiapkan lebih 800 kilometer jalan di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Sementara itu, Pengerusi HSL, Datuk Idris Buang dipetik sebagai berkata, keuntungan sebelum cukai syarikat berjumlah RM101.24 juta daripada pendapatan RM654.74 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Idris berkata, syarikat itu kini mempunyai projek bernilai RM1.2 bilion, separuh daripadanya tidak dibil.

“Projek kami termasuk pakej satu Sistem Pengurusan Air Buangan Berpusat di Bandaraya Kuching, kampus UiTM baharu di Mukah, kerja jalan, tebatan banjir serta pelbagai kontrak infrastruktur,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA