HTC 10 evo

HTC 10 evo

HTC, awal minggu ini di Taiwan, telah memperkenalkan telefon pintar terbarunya, HTC 10 evo yang merupakan varian global bagi HTC Bolt (eksklusif untuk Sprint), dilancarkan di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Salah satu tarikan terbesar HTC 10 evo, ia dilengkapi dengan fon kepala menggunakan USB Type C. Ia juga didatangkan dengan sokongan bagi HTC BoomSound Adaptive Audio.

Serupa dengan HTC Bolt, HTC 10 evo menonjolkan paparan QHD (1440×2560 piksel) 5.5 inci dengan Corning Gorilla Glass 5 dan menonjolkan rekaan aluminium kalis air.

Menggunakan Android 7.0 Nougat terus dari kotak, HTC 10 evo didatangkan dengan ciri-ciri seperti pandangan paparan terpisah, storan gambar tanpa had percuma dengan aplikasi Google Photos dan aplikasi panggilan video terbina dalam Google Duo.

Peranti ini menonjolkan pengimbas cap jari di bawah paparannya yang dikatakan mampu membuka peranti dalam masa hanya 0.2 saat.

Ia dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 810 dengan RAM 3GB dan menyokong storan tambahan menerusi kad mikroSD (sehingga 2TB).

Untuk mengambil gambar, peranti ini dilengkapi kamera belakang 16MP dengan OIS (penstabilan imej optik), rakaman video 4K dan PDAF. Di depan pula terdapat kamera 8MP dan menonjolkan denyaran skrin.

Selain itu, ia dikuasakan dengan bateri 3200mAh dan menyokong teknologi pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 2.0.