Huawei Brunei-Emiyah Digital meterai MoU

Huawei Brunei-Emiyah Digital meterai MoU

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kepada pembangunan Negara Brunei Darussalam, Huawei Brunei telah melancarkan Program Pembangunan Bakat ICT Kebangsaan Brunei dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Emiyah Digital Sdn Bhd.

Majlis penandatangan berkenaan telah berlangsung di kampus korporat global Huawei di Shenzhen, China.

Menandatangani bagi pihak Huawei Brunei ialah Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technology (B) Sdn Bhd, Guan Zhong Wei manakala itu Emiyah Digital Sdn Bhd diwakili oleh pengarahnya, Haji Aznul Wahab.

Menerusi MoU berkenaan, kedua-dua syarikat akan bekerjasama dalam menyumbangkan pelbagai program pensijilan ICT yang disediakan khusus untuk kemahiran industri ke arah pekerjaan serta-merta.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Huawei telah berjaya melaksanakan program pembangunan bakat ICT kebangsaannya di pelbagai negara.

Perwakilan dari Huawei Technologies (B) Sdn Bhd dan Emiyah Digital Sdn Bhd bergambar ramai sejurus selepas penandatanganan MoU berkenaan.
Perwakilan dari Huawei Technologies (B) Sdn Bhd dan Emiyah Digital Sdn Bhd bergambar ramai sejurus selepas penandatanganan MoU berkenaan.

Program ini mempunyai fokus strategik dalam membangunkan bakat di semua peringkat kerjaya dan pekerjaan daripada pelajar dalam pengajian akademik kepada profesional untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Guan Zhong Wei dipetik sebagai berkata, “Teknologi-teknologi maklumat dan komunikasi telah menjadi penggerak pertumbuhan yang penting bagi pelbagai industri.

“Sebagai pemimpin ICT, Huawei komited untuk menggalakkan pembangunan industri ICT di negara-negara di mana ia beroperasi dan bermatlamat untuk menjana kemapanan ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam jangka masa panjang.”

Manakala itu, Haji Aznul pula berkata bahawa komitmen dan program Huawei menarik kerana ia menumpukan kepada kemahiran dan pembangunan industri sepanjang hayat dengan sekali kursus sahaja.

“Ini menyediakan para pelajar dan profesional dengan keupayaan kritikal untuk merangka hala tuju kerja mereka dan mengekalkan kemahiran supaya terus relevan. Ini terutamanya penting di Brunei tatkala kita membangunkan asas industri,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA