Hubungan baik rangsang pertumbuhan ekonomi

Hubungan baik rangsang pertumbuhan ekonomi

NEW DELHI, 19 Feb (Bernama) – Meningkatkan hubungan adalah keutamaan strategik India dalam meransangkan lagi pertumbuhan ekonomi dan pertukaran rakyat dengan rakyat dengan negara anggota ASEAN, kata Menteri Hal Ehwal Luar India Sushma Swaraj.

Beliau berkata menerusi ‘Act East Policy’ India, beberapa inisiatif sedang dirangka bagi menambah baik hubungan jalan kereta api, jalan raya, laluan air dan udara di rantau itu, dengan memberi contoh kemajuan yang dicatatkan oleh projek Pengangkutan Pelbagai Mod Kaladan, Lebuh Raya Tiga Hala India-Myanmar-Thailand dan projek Rih Tedim di Myanmar.

“Saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa komponen laluan air asal projek Kaladan telah mencapai kemajuan hampir 90 peratus dan dijadualkan siap dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kos disemak semula projek itu diluluskan pada Oktober tahun lepas. Pelaksanaan komponen jalan raya dan butiran laluan air tambahan telah dimulakan. Ia disasarkan siap menjelang 2019,” kata Susuhma dalam ucap tama beliau semasa sesi peringkat menteri Dialog Delhi Ke-8 di sini.

Beliau mendedahkan bahawa proses tender bagi pembinaan 69 jambatan dan jalan susur bagi Lebuh Raya Tiga Hala India-Myanmar-Thailand telah dimulakan.

“Kelulusan projek itu bagi komponen ini telah diperoleh pada Disember tahun lepas. Pelaksanaan akan bermula tidak lama lagi dengan Friendship Bridge menghubungkan Moreh dan Tamu di sempadan India-Myanmar. Proses bagi jalan Kalewa-Yargi juga dipercepatkan,” kata Sushma.

Sementara itu, projek Jalan Raya Rih-Tedim akan menyediakan semua hubungan antara bahagian timur Mizoram di timur laut India dan bahagian barat Myanmar.