Hubungan bidang pertanian Malaysia-Thai lebih erat

Hubungan bidang pertanian Malaysia-Thai lebih erat

BANGKOK, 25 Sept – Hubungan dalam bidang pertanian dan industri berasaskan pertanian antara Malaysia dan Thailand bakal menjadi lebih erat lagi apabila dua negara berjiran ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU).

Kaunselor Pertanian Kedutaan Malaysia di Thailand Salwahanim Mohd Nazir berkata, MoU kerjasama pertanian yang komprehensif itu akan ditandatangani pada Disember depan.

“MoU antara dua negara itu akan ditandatangani ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 pada 1 hingga 11 Dis ini dan ia merangkumi kerjasama dalam pelbagai bidang pertanian dan industri berasaskan pertanian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada mulanya kata beliau, kedua-dua negara merancang menandatangani MoU itu ketika Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand di Bangkok awal bulan ini tetapi akhirnya bersetuju untuk berbuat demikian pada Disember depan.

Menurut Salwahanim, MoU berkenaan akan berperanan seumpama ‘payung’, merangkumi pelbagai kerjasama dalam bidang seperti pertanian, industri berasas pertanian, perikanan, penternakan dan bidang lain.

Kaunselor Pertanian Kedutaan Malaysia di Thailand Salwahanim Mohd Nazir. – Bernama
Kaunselor Pertanian Kedutaan Malaysia di Thailand Salwahanim Mohd Nazir. – Bernama

Dengan MoU Malaysia-Thailand itu juga katanya, mudah untuk kedua-dua pihak bekerjasama dalam pembinaan kapasiti, perkongsian maklumat dalam bidang berkaitan seperti isu keselamatan tumbuhan serta kuarantin.

“Dengan MoU ini, mudah untuk kita merancang dan bergerak ke hadapan. Thailand amat berminat dengan MoU ini dan mereka mahukan ia dimeterai secepat mungkin. Ia adalah satu ‘milestone’ yang kita mahu capai tahun ini,” katanya.

Menurut Salwahanim, MoU itu juga dijangka dapat memperbaiki imbangan perdagangan dalam sektor pertanian dan industri pertanian yang ketika ini menyebelahi Thailand berbanding Malaysia.

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk meningkatkan import dan eksport pertanian serta produk pertanian antara kedua-dua negara, katanya sambil menambah, lebih banyak produk pertanian Malaysia akan memasuki pasaran Thailand.

Mengikut statistik tahun lepas, Malaysia katanya, mengimport kira-kira RM4 bilion produk pertanian Thailand terutamanya beras, selain gula, ikan dan makanan laut segar beku serta input untuk makanan haiwan.

Sementara Malaysia pula dalam tempoh yang sama, hanya mengeksport RM1.6 bilion produk pertanian ke Thailand dengan teh, kopi, rempah-ratus dan makanan laut diproses sebagai produk eksport utama.