Hubungan Brunei-AS tumpu tiga tunggak utama

Hubungan Brunei-AS tumpu tiga tunggak utama

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat (AS) terus mempunyai hubungan persahabatan yang erat sejak dahulu lagi yang mana hubungan kedua-dua buah negara yang sudah melebihi 170 tahun itu terus menumpukan kepada tiga tunggak utama.

Tiga tunggak utama hubungan itu adalah untuk meningkatkan perdagangan dan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan hubungan sekuriti serta untuk mempromosikan kesefahaman bersama melalui hubungan pendidikan dan kebudayaan.

Dengan menumpukan kepada tiga tunggak utama itu, hubungan di antara Brunei dan AS terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang bagi kepentingan bersama, jelas Duta AS ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen dalam sesi meja bulat bersama media yang berlangsung di Kediaman Rasmi Duta AS di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Mengulas mengenai kerjasama perdagangan dan pertumbuhan ekonomi, TYT Allen berkata bahawa Brunei merupakan salah satu daripada empat ahli pengasas Perjanjian Kerjasama Perdagangan Pan-Pasifik (TPP), dan bila perjanjian itu berjaya dipersetujui nanti ia akan mampu untuk membawa pertumbuhan dan mempelbagaikan ekonomi Brunei serta juga rantau Asia Pasifik.

Beliau menambah, dari segi perdagangan kedua-dua buah negara, ia telah mencecah kira-kira AS$600 juta pada 2014, iaitu peningkatan sebanyak lima kali ganda berbanding beberapa tahun kebelakangan ini.

TYT Craig Allen berkata bahawa hubungan persahabatan di antara Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat terus kukuh dan dipertingkatkan dengan menumpukan kepada tiga tunggak asas hubungan dua hala.
TYT Craig Allen berkata bahawa hubungan persahabatan di antara Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat terus kukuh dan dipertingkatkan dengan menumpukan kepada tiga tunggak asas hubungan dua hala.

Peningkatan itu, katanya, adalah dalam bidang penerbangan khususnya dengan pembelian kapal terbang Boeing 787 Dream-liners dan helikopter Sikorsky Black Hawk.

Di samping itu, TYT Allen juga amat gembira dengan pertumbuhan kerjasama dan perdagangan dalam sektor minyak dan gas khususnya dengan peralatan industri minyak dan gas dari AS yang digunakan dalam industri itu di Brunei.

Dari segi kerjasama dua hala sekuriti pula, TYT Allen percaya bahawa kerjasama Brunei dan AS adalah amat penting dalam mempromosikan kestabilan di rantau Asia Tenggara yang mana hubungan ketenteraan terus teguh.

Kerjasama di antara tentera kedua-dua buah negara itu tidak hanya tertumpu pada perdagangan pesawat ketenteraan dan kemanusiaan sahaja tetapi juga kerjasama melalui latihan bersama seperti latihan tahunan Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) dan juga penyertaan Brunei dalam latihan US Pacific Command’s Rim of the Pacific (RIMPAC) yang merupakan latihan ketenteraan bersama di laut yang terbesar di dunia.

Dari segi sekuriti serantau, beliau berkata bahawa kedudukan dan hubungan baik Brunei di Asia Tenggara memberikannya berpengaruh untuk membantu meningkatkan kerjasama serantau serta dalam usaha untuk meredakan ketegangan serantau.

Beliau juga berkata bahawa AS akan terus menyokong Brunei dalam usahanya untuk meningkatkan komunikasi dan koordinasi serantau khususnya melalui Kod Tata Kelakuan Laut China Selatan.

“Kami juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan Brunei, yang turut mengutuk tindakan oleh Islamic State in Iraq and the Levant (ISIL), untuk menyumbang kepada usaha global bagi menangkis keganasan ekstremisme serta krisis kemanusiaan yang disebabkan oleh perbuatan berkenaan.”

TYT Allen ketika mengulas mengenai tunggak ketiga iaitu meningkatkan hubungan kebudayaan dan pendidikan di antara kedua-dua buah negara, berkata bahawa projek bersama Brunei dan AS iaitu Projek Pengayaan Bahasa Inggeris Brunei-AS bagi ASEAN, yang dibiayai oleh kerajaan Brunei menunjukkan hala |tuju positif hubungan dua hala kedua-dua buah negara dalam menyokong pembangunan sebuah ASEAN yang lebuh kukuh dan efektif.

Di bawah projek itu, Brunei dan AS bekerjasama untuk mengukuhkan ASEAN dengan meningkatkan keupayaan penduduk Asia Tenggara dalam penggunaan Bahasa Inggeris untuk berkomunikasi di antara satu sama lain.

Sementara itu, ulasnya lagi, Kedutaan AS di Bandar Seri Begawan juga menyokong belia Brunei dengan mempromosikan penyertaan mereka di dalam Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) yang disokong oleh Presiden Obama.

Sehingga kini, TYT Allen berkata bahawa kira-kira 200 belia dari Brunei telah mendaftar untuk mendapatkan maklumat mengenai YSEALI dan lebih 30 belia Brunei telah mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diadakan di rantau Asia Tenggara.

Dalam sektor pendidikan pula, AS terus mengalu-alukan kerjasama dengan kerajaan Brunei khususnya dalam penghantaran lebih banyak pelajar Brunei untuk melanjutkan pendidikan mereka ke universiti-universiti dan institusi pengajian tinggi di AS.

Sebagai sebahagian usaha meningkatkan hubungan kebudayaan dan pendidikan, Kedutaan AS telah memperkenalkan Rak Amerika pertama di Perpustakaan Brunei untuk mengetengahkan buku-buku serta sumber-sumber mengenai AS.

Dari segi pertukaran kebudayaan pula, AS terus menekankan perlunya membantu pertumbuhan industri kreatif Brunei yang mana baru-baru ini, pemain gitar terkenal dari AS, Ron ‘Bumblefoot’ Thal telah datang serta membuat persembahan dengan pelajar-pelajar dan wakil dari industri kreatif tempatan.

Di samping itu, bagi meningkatkan hubungan dan pertukaran di antara penduduk kedua-dua buah negara, satu rombongan khas Setiausaha Negara Amerika Syarikat dari komuniti Islam AS telah datang ke Negara Brunei Darussalam untuk membincangkan mengenai peluang ekonomi di bawah TPP dan peluang meningkatkan pertukaran pendidikan.

ARTIKEL YANG SAMA