Hubungan Brunei, China capai kejayaan

Hubungan Brunei, China capai kejayaan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Sejak penubuhan hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan China 25 tahun yang lalu, kerjasama di antara kedua-dua buah negara telah mencapai kejayaan penting dalam semua bidang.

Dalam bidang ekonomi, kerjasama saling menguntungkan kedua-dua buah negara telah berjaya mengatasi masalah kesan ekonomi global yang lembap dalam tahun-tahun kebelakangan ini, ujar Duta Besar China ke Negara Brunei Darussalam, Yang Jian.

Semasa berucap pada majlis perasmian Persatuan Perusahaan-Perusahaan China di Brunei (CEAB), petang tadi, beliau juga memberitahu bahawa perdagangan dua hala antara kedua-dua negara juga telah meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini.

“Pelaburan langsung sebenar China ke Brunei pada empat bulan pertama 2016 telah meledak hingga AS$86 juta, lebih daripada jumlah FDI yang terkumpul China pada tahun-tahun yang lalu.

“Kita juga dapat melihat bahawa Bank China (Hong Kong) sedang membuat persediaan untuk membuka operasinya di Bandar, dan kami harap dengan kewujudan mereka akan membantu mempromosikan perdagangan antara dua hala dan perhubungan ekonomik,” tambah beliau pada majlis yang berlangsung di Songket Ballroom, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew ketika menyampaikan ucaptama beliau.
Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew ketika menyampaikan ucaptama beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai projek-projek yang dikendalikan oleh perusahaan-perusahaan China di negara ini dengan kerjasama perusahaan tempatan termasuk Lebuh Raya Telisai-Lumut oleh Third Harbor Engineering Company bersama-sama rakan kongsi di Brunei, yang kini telah siap dibina dan telah dibukakan kepada orang awam.

“Empangan Ulu Tutong, satu lagi projek infrastruktur kerjasama kita, diharap selesai dalam beberapa bulan. Sementara itu, pembinaan Jambatan Pulau Muara Besar dan CC4 Temburong sedang bergerak dengan lancar dengan sokongan padu daripada agensi-agensi kerajaan Brunei dan rakan kongsi,” ujarnya.

Manakala itu, Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat, juga telah menekankan mengenai hubungan China dengan Brunei dari segi ekonomi yang semakin kukuh.

“Kita dapat melihat potensi yang sangat besar untuk menarik lebih banyak pelabur China, di mana kerajaan Republik Rakyat China terus menyediakan sokongan dan insentif yang besar untuk menggalakkan syarikat-syarikat China melabur di luar negara.

Antara yang hadir di majlis tersebut.
Antara yang hadir di majlis tersebut.

“Pelaburan langsung dari Republik Rakyat China meningkat daripada $12,900,000 pada tahun 2015 kepada $116,100,000 pada suku pertama tahun ini. Kami berharap dapat melihat pertumbuhan ini berterusan dan memperluaskannya ke PKS tempatan.”

Dalam pada itu, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew juga menyentuh mengenai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, yang mana kerajaan Brunei komited untuk menarik lebih banyak lagi pelaburan langsung asing ke negara ini.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda pada Sambutan Tahun Baru 2016, telah memperkenalkan pembaharuan ekonomi penting untuk mempelbagaikan ekonomi Brunei Darussalam dengan penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Industri Hiliran.

“Ini adalah untuk memperkemaskan proses kelulusan bagi semua pelaksanaan projek FDI. Baginda juga bertitah dalam memperbaharui usaha untuk meningkatkan eksport negara selain daripada sektor minyak dan gas, seperti dalam sektor pertanian, perikanan, pembuatan dan perkhidmatan termasuk logistik dan pelancongan,” tambah beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA