Hubungan Brunei-Kuwait diperkukuh

Hubungan Brunei-Kuwait diperkukuh

KUWAIT, 19 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malam tadi, berkenan berangkat bagi Majlis Pengurniaan Bintang Kebesaran; mengadakan kunjungan muhibah kepada Amir Kuwait, His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah; menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kuwait; dan seterusnya Majlis Santap Malam Negara yang dihoskan oleh Amir Kuwait.

Majlis-majlis tersebut telah diadakan di Istana Bayan, Kuwait, di mana keberangkatan Baginda diiringi oleh Perdana Menteri Kuwait, His Highness Sheikh Jaber Mubarak Al-Hamad Al-Sabah.

Sejurus keberangkatan tiba di Istana Bayan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Ketua Protokol Amiri dan Chamberlain Kuwait, Tuan Yang Terutama Sheikh Khaled Abdullah Sabah Al-Nasser Al-Sabah, dan sebelum berangkat masuk bagi Majlis Pengurniaan Bintang Kebesaran, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.

Pada awal Majlis Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran tersebut, Tuan Yang Terutama Sheikh Khaled Abdullah Sabah Al-Nasser Al-Sabah, telah menyembahkan Bintang Kebesaran ‘The Great Mubarak’ kepada Amir Kuwait.

Kemudiannya, Amir Kuwait mengurniakan Bintang Kebesaran ‘The Great Mubarak’ kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dikurniakan Bintang The Great Mubarak oleh Amir Kuwait, His High-ness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah. - INFOFOTO
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dikurniakan Bintang The Great Mubarak oleh Amir Kuwait, His High-ness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah. – INFOFOTO
Baginda Sultan mengurniakan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam D.K.M.B kepada His High-ness The Amir of Kuwait.
Baginda Sultan mengurniakan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam D.K.M.B kepada His High-ness The Amir of Kuwait.
Mewakili kerajaan KDYMM bagi Penandatangan MoU dalam bidang pelaburan ialah Menteri Kewangan II di Jabatan Perdana Menteri.
Mewakili kerajaan KDYMM bagi Penandatangan MoU dalam bidang pelaburan ialah Menteri Kewangan II di Jabatan Perdana Menteri.

p01-4_20150520

p01-5_20150520

KDYMM disembah kenal dengan para pegawai kanan Negara Kuwait.
KDYMM disembah kenal dengan para pegawai kanan Negara Kuwait.
Sebelum beredar bagi Majlis Santap Malam Rasmi His Highness The Amir of Kuwait disembah kenal dengan rombongan Negara Brunei Darussalam.
Sebelum beredar bagi Majlis Santap Malam Rasmi His Highness The Amir of Kuwait disembah kenal dengan rombongan Negara Brunei Darussalam.

p01-8_20150520

p01-9_20150520

KDYMM berkenan menerima mengadap His Highness Sheikh Jaber Mubarak Al-Hamad Al-Sabah. - GAMBAR-GAMBAR OLEH INFOFOTO
KDYMM berkenan menerima mengadap His Highness Sheikh Jaber Mubarak Al-Hamad Al-Sabah. – GAMBAR-GAMBAR OLEH INFOFOTO

p01-11_20150520

Seterusnya, Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar menyembahkan Bintang Kebesaran Darjah Kerabat Mahkota Brunei (D.K.M.B.) kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Darjah Kerabat Mahkota Brunei (D.K.M.B.) tersebut kepada His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.

Kunjungan Muhibah

Selepas majlis Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran di antara kedua-dua buah negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan mengadakan kunjungan muhibah kepada Amir Kuwait.

Pada kunjungan tersebut, kedua-duanya berbincang mengenai kerjasama dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Kuwait serta bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal yang menjadi kepentingan dan keprihatinan bersama.

Berangkat menyertai Amir Kuwait semasa kunjungan tersebut ialah His Highness Crown Prince Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan Kuwait.

Turut hadir mengiringi Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; dan Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (Bersara) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar.

Majlis Penandatanganan MoU

Selesai kunjungan muhibah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Amir Kuwait kemudiannya berkenan beredar untuk menyaksikan Majlis Penandatanganan MoU dalam bidang pelaburan.

Menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman, manakala, bagi pihak kerajaan Kuwait ialah Menteri Kewangan dan Menteri Perdagangan dan Industrinya, Tuan Yang Terutama Anas Khalid Al-Saleh.

Turut hadir pada Majlis Penandatanganan tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng dan Yang Berhormat Pehin (Dr) Haji Mohd Yasmin.

Majlis Santap Malam Negara

Selepas majlis penandatanganan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan beredar bersama-sama His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, ke Dewan Persantapan bagi Majlis Santap Malam Negara yang dihoskan oleh Amir Kuwait sempena Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia selama dua hari ke negara itu.

Sebelum majlis santap, Amir Kuwait telah disembah kenalkan kepada delegasi Negara Brunei Darussalam, kemudiannya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembah kenalkan kepada tetamu-tetamu khas Amir Kuwait.

Berangkat sama dan hadir pada majlis santap tersebut ialah His Highness Crown Prince Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah; Perdana Menteri Kuwait, His Highness Sheikh Jaber Mubarak Al-Hamad Al-Sabah; Speaker National Assembly Kuwait, Tuan Yang Terutama Marzouq Al-Ghanim; duta-duta dari negara-negara Asia di Kuwait, serta para pegawai kerajaan Kuwait.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman, Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng, dan Yang Berhormat Pehin (Dr.) Haji Mohd Yasmin.

Terdahulu pada sebelah petang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan menerima kunjungan-kunjungan muhibah secara berasingan daripada Perdana Menteri Kuwait dan Mantan Perdana Menteri Kuwait, His Highness Sheikh Nasser Al-Mohammed Al-Ahmed Al-Jaber Al-Mubarak Al-Sabah.

Baginda juga berkenan menerima mengadap secara berasingan Timbalan Pengerusi Kedua Dewan Perdagangan dan Industri Kuwait; Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kuwait; dan disusuli kemudiannya Speaker National Assembly Kuwait sempena Keberangkatan Negara ke Kuwait.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan menerima mengadap Timbalan Pengerusi Kedua Dewan Perdagangan dan Industri Kuwait, Tuan Yang Terutama Abdul Wahab Al-Wazzan.

Seterusnya Baginda Sultan berkenan menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kuwait, Tuan Yang Terutama Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.

Akhir sekali, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Speaker National Assembly Kuwait, Tuan Yang Terutama Marzouq Al-Ghanim.

Kunjungan-kunjungan muhibah dan majlis menerima mengadap tersebut telah diadakan di Hotel Regency, Kuwait.

Turut hadir pada acara-acara berkenaan ialah Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng dan Yang Berhormat Pehin (Dr.) Haji Mohd Yasmin.

ARTIKEL YANG SAMA