Hubungan Brunei-Malaysia pada tahap terbaik

Hubungan Brunei-Malaysia pada tahap terbaik

PUTRAJAYA, 5 Okt – Pemimpin Brunei dan Malaysia bersempena Perundingan Pemimpin Tahunan ke-20 Brunei dan Malaysia pada Selasa, telah menggambarkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara ‘berada pada tahap terbaik’.

Dalam kenyataan dikeluarkan Wisma Putra menyebut rundingan bersama antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Perdana Menteri Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak berlangsung dalam suasana yang mesra dan konstruktif.

“Kedua-dua pemimpin mem-bincangkan pelbagai isu dua hala,” menurut kenyataan tersebut sambil menambah, ia turut membincangkan mengenai pelaksanaan Pertukaran Surat yang ditandatangani oleh pemimpin Malaysia dan Brunei pada 16 Mac 2009.

Wisma Putra juga menyebut kedua-dua pemimpin turut membincangkan kepentingan untuk menambah baik hubungan antara Brunei dan Malaysia menerusi projek Lebuh Raya Pan Borneo.

“Mereka menggesa perbin-cangan rasmi diadakan bagi membincangkan aspek teknikal projek Lebuh Raya Pan Borneo itu. Mereka juga bersetuju untuk menambah baik dan memudahkan prosedur imigresen di pusat pemeriksaan sempadan antara kedua-dua negara bagi melancarkan laluan antara Brunei dan Malaysia. Wisma Putra turut memberitahu Baginda Sultan dan Datuk Seri Mohd Najib menyambut baik pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Brunei dan Malaysia untuk bekerjasama dalam bidang teknologi hijau.

“Kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama,” katanya lagi. Perundingan Pemimpin Tahunan ini merupakan platform peringkat tertinggi dan acara penting dalam kalender tahunan bagi kedua-dua negara.

Perundingan Pemimpin Tahunan ke-19 diadakan di Bandar Seri Begawan pada 11 Ogos 2015. – Bernama