Hubungan Brunei, Rusia terus berkembang

Hubungan Brunei, Rusia terus berkembang

Oleh Sim Y. H. dan Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Negara Brunei Darussalam dan Rusia akan terus meningkatkan hubungan persahabatan, kerjasama dua hala serta mengembangkan lagi ikatan kerjasama termasuk politik, ekonomi dan kemanusiaan.

Hubungan kedua-dua negara dijangka akan mencapai tahap baru apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Presiden Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin dijadualkan mengadakan Mesyuarat Dua Hala semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia sempena ulang tahun ke-20 rakan kongsi dialog yang akan berlangsung pada 19 hingga 20 Mei di Sochi, Rusia, nanti.

Sidang kemuncak yang akan dihadiri oleh para pemimpin negara anggota ASEAN dan Rusia dengan slogan ‘Ke Arah Perkongsian Strategik Demi Kebaikan Bersama’ itu diadakan buat kali pertama di wilayah Rusia itu.

Duta Rusia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Vladlen Semivolos (gambar) dalam temu bual bertulis bersama Media Permata berkata, mesyuarat dua hala itu amat penting dan bermakna kerana pada 2016, ia menandakan ulang tahun ke-26 penubuhan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, semasa mesyuarat itu nanti, beberapa isu kerjasama praktikal akan dibincangkan termasuk usaha mempromosikan pelaburan dan perdagangan di antara Brunei dan Rusia yang merupakan salah satu bidang kerjasama yang berpotensi tinggi.

pg04_160516_c

Beliau berkata, bidang perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara menunjukkan pembangunan yang dinamik di mana pada tahun 2015, ia telah meningkat berkali-kali ganda kepada AS$25 juta dengan sebahagian besarnya daripada sektor tenaga.

TYT Semivolos menyatakan keyakinan jumlah perdagangan dua hala di antara Brunei Darussalam dan Rusia akan menunjukkan peningkatan yang lebih baik tahun ini.

Menurut beliau lagi, misi perdagangan Rusia ke Brunei pada Ogos 2015 dan April 2016 memainkan peranan utama dalam meningkatkan lagi kerjasama dan memudahkan hubungan perniagaan di antara kedua-dua negara.

Delegasi Rusia pada April lalu, jelasnya lagi, terdiri daripada wakil-wakil syarikat dalam pelbagai bidang termasuk tenaga, logistik, teknologi tinggi dan binaan serta juga wakil-wakil daripada Suruhanjaya Ekonomi Eropah-Asia dan Majlis Perniagaan Rusia-ASEAN.

“Semasa Forum Perniagaan Brunei-Rusia dan perjumpaan perniagaan, perbincangan telah diadakan bersama syarikat-syarikat tenaga utama iaitu Lukoil Asia Pacific, MG3, Ingeoservice dan Novochem bersama syarikat-syarikat Brunei di mana potensi untuk mengembangkan lagi perdagangan dan melaksanakan projek usaha sama dalam bidang tenaga dipersetujui oleh kedua belah pihak.

“Di antara yang dipersetujui semasa perbincangan berkenaan adalah dalam bidang pertukaran teknologi dan untuk membawa kepakaran Rusia dalam kajian geologi laut serta perkhidmatan tenaga ke Brunei,” jelas TYT Semivolos lagi.

Sementara itu, Kumpulan Syarikat MORTON dan JSC Kurganstalmost iaitu syarikat pembinaan dan pembangunan terkemuka Rusia meneroka peluang untuk menubuhkan projek-projek kerjasama dengan syarikat-syarikat di negara ini dengan hasrat untuk memasuki pasaran Asia Tenggara.

Manakala syarikat pembuat gergasi Rusia, Rostec dan Overseas Group iaitu syarikat logistik terbesar Rusia turut mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan perniagaan di Brunei semasa lawatan berkenaan.

“Memandangkan perkembangan positif itu, delegasi wakil-wakil syarikat perniagaan dari negara ini akan mengadakan lawatan balas ke Rusia untuk meneroka peluang ekonomi dan usaha sama yang berpotensi di sana,” kata TYT Semivolos.

Semasa lawatan itu nanti, keutamaan diberikan untuk merealisasikan penubuhan Majlis Perniagaan Brunei-Rusia yang telah dimeterai semasa lawatan delegasi perniagaan Rusia ke negara ini Ogos lalu.

Penubuhan majlis itu, diharap dapat memberikan laluan bagi menghasilkan mekanisme untuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan, kontrak perniagaan, membantu perniagaan menerokai peluang perdagangan dua hala serta untuk menubuhkan syarikat usaha sama.

TYT Semivolos turut menyatakan harapan supaya wakil-wakil ekonomi dari negara ini akan menghadiri acara ekonomi antarabangsa berskala besar yang iaitu Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg dari 16 hingga 18 Jun nanti.

Menurut beliau lagi, Rusia pula tidak kurang memberikan penekanan kepada pembangunan hubungan ketenteraan dua hala di mana lawatan kapal-kapal Armada Pasifik Rusia termasuk Admiral Vinogradov, Ikrut dan Fotiy Krylov yang menyertai latihan semasa Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus bagi Sekuriti Maritim dan Pencegahan Pengganasan amat penting dalam konteks untuk mengukuhkan lagi kerjasama ketenteraan di antara kedua-dua negara.

Penyertaan kapal-kapal Rusia dalam latihan itu merupakan satu mercu tanda penting kerana ia merupakan kali pertama kapal-kapal gempur Rusia berlabuh di Muara dan beliau berharap ia akan dapat diteruskan dalam bentuk latihan dua hala dan pelbagai hala.

Beliau juga berkata, semasa mesyuarat dua hala itu nanti, Memorandum Persefahaman bagi Kerjasama Teknikal Ketenteraan akan dimeterai untuk membina asas bagi mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan dan kerjasama jangka panjang yang bermanfaat bagi kedua-dua negara.

Pada masa yang sama, kedua-dua pihak juga dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan dalam bidang kebudayaan, pendidikan dan kesihatan.

“Dalam hubungan itu, beberapa perjanjian dua hala akan dimeterai dalam bidang-bidang berkenaan bagi meningkatkan lagi kefahaman dan hubungan di antara rakyat dan penduduk kedua-dua negara bagi menggalakkan pertukaran serta memudahkan hubungan kerjasama di antara institusi pengajian tinggi Rusia dan Brunei,” jelas TYT Semivolos lagi.

ARTIKEL YANG SAMA