Hubungan Brunei, Singapura terus dipererat

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Menteri Negara Kanan, Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kementerian Pertahanan, Republik Singapura, Dr. Mohamad Maliki bin Osman sedang dalam rangka lawatan selama empat hari ke negara ini bermula 16 hingga 19 Mei.

Semasa lawatan tersebut, beliau telah mengadakan kunjungan ke hadapan majlis Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri kabinet termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; Menteri Tenaga dan Perindustrian di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Timbalan Menteri di JPM, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Republik Singapura, Dr. Mohamad Maliki yang turut diiringi oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Singapura, juga melawat kem latihan anggota Angkatan Bersenjata Singapura di Temburong, hari ini.

YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna semasa berkenan menerima kunjungan Dr. Mohamad Maliki.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna semasa berkenan menerima kunjungan Dr. Mohamad Maliki.
Dr. Mohamad Maliki semasa menghadiri jamuan malam bersama Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng dan Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin.
Dr. Mohamad Maliki semasa menghadiri jamuan malam bersama Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng dan Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin.
Dr. Mohamad Maliki semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Mufti Kerajaan.
Dr. Mohamad Maliki semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Mufti Kerajaan.
Dr. Mohamad Maliki semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Behormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.
Dr. Mohamad Maliki semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Behormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.

Sementara itu, Dr. Mohamad Maliki dalam laman Facebook beliau menyifatkan kunjungannya sebagai Berjaya.

Menurutnya, semasa kunjungan hormat ke hadapan majlis Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk meningkatkan lagi pertukaran di peringkat rakyat antara kedua-dua buah Negara.

Sementara dalam pertemuan dengan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri yang lain, beliau telah membincangkan pelbagai perkara termasuk cara untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang erat sejak sekian lama serta isu-isu serantau yang lain.