Hubungan dagangan Malaysia, Afrika dijangka berkembang

Hubungan dagangan Malaysia, Afrika dijangka berkembang

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) – Hubungan dagangan dua hala antara Malaysia dan benua Afrika dijangka berkembang sebanyak 10 peratus daripada RM30.1 bilion yang dicatatkan pada 2015.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini berkata dagangan dua hala Malaysia dan benua itu meningkat pada kadar 10.6 peratus sejak beberapa tahun lepas.

“Bagaimanapun, berikutan persekitaran ekonomi yang mencabar sekarang, ia diunjur meningkat pada kadar 10 peratus,” katanya pada sidang media selepas sesi perkongsian dan jaringan dengan komuniti perniagaan Afrika di sini.

Perdagangan antara Malaysia dan benua itu berkembang secara konsisten daripada hanya RM12.02 bilion pada 2006 kepada RM30.1 bilion pada 2015.

Mustapa turut menggesa kalangan ahli perniagaan Malaysia untuk meneroka sepenuhnya peluang besar yang ada di benua Afrika, sekali gus melonjakkan dagangan dua hala. “Selain menjual produk kita ke benua Afrika, usahawan Malaysia juga perlu meninjau sumber yang ada di sana,” katanya.

Malaysia mengeksport minyak sawit dan produk berasaskannya, produk petroleum, bahan kimia dan kimia, makanan diproses dan mesin, alat ganti dan kelengkapannya manakala mengimport produk termasuk gas cecair asli, produk petroleum, petroleum mentah dan logam sekerap.

Afrika Selatan, Mesir, Nigeria dan Angola adalah rakan dagang utama dan destinasi eksport Malaysia.