Hubungan diperkukuhkan

Hubungan diperkukuhkan

SOCHI, Rusia, 19 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan mengadakan perjumpaan dua hala dengan Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin yang berlangsung di Radisson Blu Resort and Congress Centre, Sochi.

Sejurus keberangkatan tiba di bilik perjumpaan khas, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh Presiden Putin.

Semasa perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Presiden Putin berbincang mengenai hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia serta bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-25 hubungan dua hala Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia sejak hubungan diplomatik kedua-dua buah negara berkenaan terjalin pada 1 Oktober 1991.

Kedua-dua belah pihak juga komited untuk meningkatkan usaha sama dalam perdagangan dan kerjasama ekonomi dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan, tenaga, pengangkutan, kebudayaan, kesihatan, pendidikan dan pelancongan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin. - Gambar Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin. – Gambar Infofoto

pg01_160520_b

Baginda Sultan berkenan mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden Putin.
Baginda Sultan berkenan mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden Putin.

pg03_160520_f

Kebawah Duli Yang Maha Mulia selamat berangkat tiba di Sochi, awal pagi ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia ke-20 yang berlangsung selama dua hari di Radisson Blu Resort and Congress Centre, Sochi bermula hari ini.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Sochi dijunjung oleh Pengarah Jabatan Protokol Negara di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Persekutuan Rusia, Yuri Filatov dan Timbalan Ketua Pentadbiran (Gabenor) Wilayah Krasnodar, Sergey Altukhov.

Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua) Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng, Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Haji Haini bin Haji Hashim.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia selamat berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sochi, Persekutuan Rusia. - Gambar-gambar oleh Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia selamat berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sochi, Persekutuan Rusia. – Gambar-gambar oleh Infofoto
Baginda Sultan disembahkan dengan hidangan tradisional tertua Rusia, ‘bread and salt’ sejurus berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sochi.
Baginda Sultan disembahkan dengan hidangan tradisional tertua Rusia, ‘bread and salt’ sejurus berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sochi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya disembahkan dengan hidangan tradisional ‘bread and salt’ yang merupakan salah satu adat tradisi tertua di Persekutuan Rusia, seterusnya menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Sochi, tempat persemayaman Baginda di sepanjang keberangkatan ke Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia ke-20.

Pada tahun ini, Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia akan menandakan ulang tahun ke-20 hubungan ASEAN dan Persekutuan Rusia sejak menjadi rakan kongsi dialog penuh ASEAN semasa Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN ke-29 pada bulan Julai 1996 di Jakarta, Republik Indonesia.

ASEAN dan Persekutuan Rusia kini telah menubuhkan ASEAN-Russia Eminent Persons Group (AREPG) untuk mengkaji hubungan ASEAN-Rusia sejak beberapa tahun lalu, sambil meneroka cara-cara untuk memperluas dan mengukuhkan kerjasama sedia ada antara ASEAN dan Persekutuan Rusia serta membuat cadangan mengenai hala tuju kedua-dua pihak.

Selain itu, ASEAN dan Persekutuan Rusia juga meneroka kerjasama dalam bidang-bidang lain termasuk politik dan keselamatan, ekonomi, sosiobudaya, wabak-wabak penyakit, mengekalkan sumber semula jadi, pemeliharaan alam sekitar, keselamatan makanan, pertanian, pendidikan, pengangkutan dan Inisiatif Integrasi ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA