Hubungan dua hala semakin erat

Hubungan dua hala semakin erat

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa hubungan sejarah dan warisan yang dikongsi bersama oleh Brunei dan Filipina telah membantu memupuk hubungan serta kefahaman yang erat di antara kedua-dua negara.

Baginda bertitah, hubungan yang erat itu telah membolehkan kerjasama yang baik di antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, buruh, pertahanan, kesihatan, pendidikan serta perkhidmatan udara.

“Kami amat menghargai usaha 23,000 orang warga Filipina yang datang untuk berkhidmat di dalam negara kami dan membantu dalam pembangunan ekonomi kami seperti guru-guru, profesional kesihatan dan jurutera,” titah Baginda pada Majlis Santap Negara bagi meraikan Lawatan Negara Presiden Republik Filipina, Rodrigo Roa Duterte di Istana Nurul Iman, malam ini.

Baginda bertitah bahawa masih banyak lagi potensi untuk diterokai dalam kerjasama ekonomi di antara kedua-dua negara termasuk mengukuhkan kerja-kerja dalam sektor tenaga dan juga menerokai peluang baru dalam industri halal.

Dalam pada itu, Baginda Sultan turut merakamkan perasaan gembira atas kerjasama yang baik dalam bidang pertahanan di mana baru-baru ini, Pasukan Pemantau ke-13 negara telah berlepas ke selatan Filipina.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengurniakan titah semasa Majlis Santap Negara bagi meraikan Lawatan Negara Presiden Duterte.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengurniakan titah semasa Majlis Santap Negara bagi meraikan Lawatan Negara Presiden Duterte.

Baginda bertitah bahawa sejak tahun 2004, kedua-dua negara telah bekerjasama dengan rapat untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan di wilayah berkenaan di mana komitmen berterusan daripada Presiden Filipina dalam perkara itu amat dihargai kerana ia menyumbang kepada sekuriti serantau secara menyeluruh.

Di samping itu, Baginda Sultan juga merakamkan ucapan tahniah dan menyatakan sokongan penuh kepada Filipina selaku Pengerusi ASEAN pada 2017 kerana amat penting bagi ASEAN untuk berusaha menjadi lebih bersatu bagi memberikan manfaat penduduknya seperti yang digariskan dalam Visi Komuniti ASEAN 2025.

Ketika menyentuh mengenai BIMP-EAGA, Baginda Sultan bertitah bahawa kedua-dua negara akan terus bekerjasama rapat untuk memastikan rantau kecil ini akan terus berkembang dan membangun termasuk dalam memupuk pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, memulihara alam sekitar dan meningkatkan lagi kesalinghubungan menerusi pembangunan infrastruktur dan pelancongan.

Sementara itu, bagi rantau Asia Pasifik pula, Baginda Sultan bertitah bahawa kedua-dua negara akan terus melaksanakan beberapa inisiatif di bawah APEC termasuk perkembangan Kawasan Bebas Perdagangan Asia Pasifik serta menubuhkan sektor perkhidmatan yang kompetitif.

Baginda yakin usaha itu selaras dengan usaha ke arah Komuniti Ekonomi ASEAN dan menyediakan lebih banyak lagi peluang kepada penduduk kedua-dua negara.

Sementara itu Presiden Duterte dalam sembah ucapannya menyatakan, Filipina akan terus berusaha untuk mengekalkan lagi hubungan yang amat baik di antara kedua-dua negara dan penduduknya sambil berkata, dalam sejarah kedua-dua negara, mereka telah berhadapan banyak cabaran serupa yang telah dapat tangani.

Di samping itu, Presiden Duterte berkata, kedua-dua negara telah meneroka dan melaksanakan beberapa usaha yang telah mengukuhkan lagi hubungan istimewa di antara Brunei dan Filipina di mana masih terdapat banyak kerjasama yang akan diterokai bagi mencapai keamanan, perkembangan dan kemakmuran.

Beliau turut menyatakan masih terdapat banyak lagi peluang untuk mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, kerjasama politik-sekuriti, penyelesaian pertelingkahan secara aman, membawa keamanan yang berkekalan kepada Mindanao serta membina ASEAN yang lebih kukuh.

Bagi Presiden Duterte, terdapat masih banyak cabaran yang dihadapi oleh penduduk dan negara tetapi sebagai sahabat sejati, kedua-dua negara dapat bergantung di antara satu sama yang lain untuk mencapai matlamat yang sama.

Menurut Presiden Duterte, perkara yang amat penting bagi mereka adalah untuk terus saling menghormati, mempercayai serta yakin di antara satu sama yang lain di mana ia telah melambangkan hubungan persahabatan selama 32 tahun di antara Filipina dan Brunei.

Pada masa yang sama, Presiden Duterte juga menyatakan penghargaan kehadapan majlis Baginda Sultan atas peranan penting Baginda dalam memastikan hubungan yang amat baik di antara Brunei dan Filipina serta kesediaan Brunei untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan ketika Filipina ditimpa bencana.

Presiden Duterte berada di Brunei dalam rangka lawatan negara selama tiga hari.

ARTIKEL YANG SAMA