Hubungan ekonomi Brunei-India dipertingkatkan

Hubungan ekonomi Brunei-India dipertingkatkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Ke arah mempertingkatkan lagi kerjasama dan hubungan ekonomi antara Brunei dan India, kerajaan India akan menganjurkan pameran pelaburan di negara ini pada September nanti.

Menurut laporan berita tempatan hari ini, Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Nagma Mohamed Mallick berkata ekspo itu yang dipanggil ‘India Investrade’, akan menampilkan delegasi perniagaan yang besar dari Kolkata.

“Kami mempunyai dua delegasi perniagaan besar yang akan datang ke Brunei pada tahun ini. Pada bulan September kita akan mengadakan pameran besar. Kemudian pada Oktober atau November delegasi besar dari Persekutuan Industri India di Delhi, mereka akan mengadakan mesyuarat untuk meneroka peluang pelaburan di India dan Brunei,” katanya ketika ditemu ramah hari ini.

Wakil-wakil syarikat India dari pelbagai sektor seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal, tenaga solar dan kejuruteraan dijangka akan bertemu dengan ahli perniagaan Brunei untuk merangkai hubungan perdagangan dan pelaburan.

Menurut Mallick lagi, terdapat banyak peluang yang boleh diperolehi di Brunei disebabkan kedudukannya yang berada di tengah-tengah rantau ASEAN, dan India berminat untuk menggunakan pengalaman yang luas dalam bidang pertanian dan IT untuk membantu kerajaan mempelbagaikan ekonominya.

Brunei dan India sudah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 10 Mei 1984 yang lalu. Menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Brunei, satu jawatankuasa dua hala telah ditubuhkan pada tahun 1995 untuk menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara.

Eksport utama Brunei ke India adalah minyak mentah, manakala eksport utama India ke Brunei adalah buruh termasuk profesional dan pekerja separuh mahir. – Xinhua

 

ARTIKEL YANG SAMA