Hubungan erat tingkat prestasi pelajar

Hubungan erat tingkat prestasi pelajar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Sokongan padu dan hubungan erat di antara ibu bapa dan guru-guru melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) sekolah mampu membantu dalam memberikan galakan serta dorongan kepada para pelajar untuk meningkatkan prestasi pendidikan mereka.

Kerjasama yang erat itu bukan sahaja memberikan peluang kepada ibu bapa dan guru-guru membincangkan mengenai prestasi terkini para pelajar tetapi juga bersama-sama dapat memberikan bantuan yang diperlukan bagi para pelajar dalam bidang akademik mereka.

Hubungan erat itu memainkan peranan dan menyumbang kepada kejayaan para pelajar di bidang pendidikan mereka di mana ia mampu dilihat dalam pencapaian peperiksaan mereka.

Perkara itu antara yang disentuh oleh Ketua Kluster 2, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Metussin bin Haji Jais semasa Majlis Konvokesyen Pelajar Tahun 6 ke-8, Konvokesyen Murid Pra ke-5 dan Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang & Terbaik 2015, Sekolah Rendah Haji Mohd Jaafar Maun, Kiulap yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.

Haji Metussin menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar terbaik di majlis berkenaan.
Haji Metussin menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar terbaik di majlis berkenaan.

Beliau menambah bahawa hasil daripada kerjasama padu ibu bapa dan guru-guru, pelajar sekolah berkenaan telah menunjukkan peningkatan dan pencapaian keputusan yang baik bagi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan supaya pihak ibu bapa, para pelajar dan guru-guru akan terus berusaha serta bekerjasama untuk sama-sama meningkatkan lagi pencapaian sekolah dan pelajar supaya terus cemerlang.

Majlis kemudian menyaksikan Haji Metussin menyempurnakan penyampaian sijil konvokesyen kepada seramai 25 orang graduan Pra Sekolah dan 14 orang graduan Tahun 6.

Beliau turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pelajar-pelajar terbaik, Anugerah Khas serta Anugerah Pelajar Cemerlang 2015.

Majlis itu bermatlamat untuk memberikan penghargaan kepada para pelajar yang menunjukkan prestasi akademik yang baik dalam pelajaran mereka serta diharap menjadi pembakar semangat dan pendorong kepada pelajar-pelajar lain untuk berusaha mencapai keputusan akademik yang baik.

ARTIKEL YANG SAMA