Hubungan istimewa AS,UK kekal – Obama

Hubungan istimewa AS,UK kekal – Obama

PALO ALTO, California, 26 Jun (Bernama) – Presiden AS Barack Obama berkata hubungan istimewa antara Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) kekal dan akan berterusan walaupun negara itu keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

“Satu perkara yang tidak akan berubah adalah hubungan istimewa yang wujud antara kedua-dua negara. Itu akan berterusan,” katanya dalam apa yang dikatakan sebagai reaksi pertamanya berhubung Brexit, susulan keputusan pungutan suara yang diadakan pada 23 Jun, menyaksikan rakyat Britain mengundi untuk keluar daripada blok ekonomi itu.

Beliau berkata undian itu menandakan kepada perubahan semasa dan cabaran daripada globalisasi.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada hari terakhir Sidang Kemuncak Keusahawanan Global 2016 selama tiga hari di sini.

Obama turut percaya bahawa UK komited kepada peralihan yang lancar dan EU akan masih kekal sebagai antara rakan AS yang amat diperlukan.

Obama ketika bercakap di Pusat Konvensyen Washington State di Seattle, Washington pada 24 Jun lalu. Obama berkata hubungan istimewa antara Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) kekal dan akan berterusan walaupun negara itu keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).
Obama ketika bercakap di Pusat Konvensyen Washington State di Seattle, Washington pada 24 Jun lalu. Obama berkata hubungan istimewa antara Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) kekal dan akan berterusan walaupun negara itu keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

“Beberapa jam yang lalu, saya bercakap dengan Perdana Menteri David Cameron. David telah menjadi sahabat yang baik dan rakan kongsi di peringkat global.

“Dan berdasarkan perbualan kami, saya yakin UK komited kepada peralihan yang lancar.

“Kami bersetuju pasukan ekonomi dan kewangan kami akan kekal dalam hubungan yang rapat kerana kami terus menumpukan kepada usaha memastikan kestabilan pertumbuhan ekonomi dan kewangan,” katanya.

Obama berkata beliau juga telah bercakap dengan Canselor Jerman Angela Merkel, yang mana kedua-dua pemimpin bersetuju AS dan sekutu Eropahnya akan bekerjasama rapat pada minggu dan bulan-bulan akan datang.

Obama sebelum ini dikritik apabila mengingatkan Britain bahawa ia akan berada ‘di belakang barisan’ bagi perjanjian perdagangan dengan AS jika mengundi untuk keluar daripada EU.

Beliau juga berkata Britain akan membantu memimpin EU yang kukuh.