Hubungan kerjasama Brunei, India terus dipererat

Hubungan kerjasama Brunei, India terus dipererat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik India terus berkembang dengan maju dalam pelbagai bidang yang mana kerjasama itu bukan sahaja meliputi kerjasama dua hala di antara kedua buah negara tetapi juga di antara India dan ASEAN.

Sehubungan dengan itu, India amat menghargai keupayaan Negara Brunei Darussalam dalam mengemudi hubungan di antara India dan ASEAN selaku negara penyelaras pada 2012 hingga 2015 di mana Brunei selaku negara penyelaras ASEAN, India akan berusaha untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama dua hala bukan sahaja dengan Brunei tetapi juga dengan negara-negara anggota ASEAN.

Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nagma Mohamed Mallick ketika berucap di Majlis Resepsi bersempena Ulang Tahun Hari Republik India ke-67 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Hadir bagi mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam ke majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Puan Yang Terutama menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Pehin.
Puan Yang Terutama menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Puan Yang Terutama memotong kek sempena Ulang Tahun Hari Republik India ke-67.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Puan Yang Terutama memotong kek sempena Ulang Tahun Hari Republik India ke-67.
Pesuruhjaya Tinggi India menyampaikan ucapan beliau.
Pesuruhjaya Tinggi India menyampaikan ucapan beliau.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.

Majlis turut dihadiri oleh para perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para pegawai Suruhanjaya Tinggi India ke Brunei serta jemputan lainnya.

Puan Yang Terutama dalam ucapannya lagi menyatakan, hubungan erat dan kerjasama dua hala di antara kedua-dua buah negara itu akan diperkukuhkan lagi apabila Naib Presiden India dijadualkan untuk mengadakan lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam pada 1 hingga 3 Februari di mana ia merupakan lawatan dua hala peringkat tertinggi dari India ke Brunei.

Pada majlis itu juga, beliau menyatakan penghargaan atas layanan mesra yang diberikan kepada masyarakat India yang berada di Brunei dan sama-sama menyumbang dalam pembangunan Brunei serta pada masa yang sama terus mengekalkan hubungan mereka dengan India.

Majlis diteruskan dengan acara memotong kek sempena Ulang Tahun Hari Republik India yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Badaruddin dan Puan Yang Terutama serta diteruskan dengan penyampaian cenderahati oleh Puan Yang Terutama kepada Yang Berhormat Pehin.