Hubungan kerjasama Brunei-Jepun dipereratkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Negara Brunei Darussalam dan Jepun mempunyai hubungan kerjasama dua hala dan persahabatan erat yang telah terjalin sekian lama.

Namun begitu, Jepun terus berusaha untuk meneroka peluang kerjasama dua hala bukan sahaja dalam bidang perdagangan tetapi juga dalam pertukaran penduduk kedua buah negara khususnya dalam kalangan belia.

Dalam hubungan itu, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam bukan sahaja berusaha untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dua hala tetapi juga ingin meneroka pelbagai peluang bagi meningkatkan program pertukaran khususnya dalam kalangan golongan belia. Harapan itu dikongsi oleh Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato ketika berucap di Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni Jepun Brunei (BAJA) yang berlangsung di Hotel Radisson, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan harapan bahawa program pertukaran belia dua hala itu dapat meliputi pelbagai bidang termasuk bidang sukan. Jelasnya lagi, Jepun bakal menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik Musim Panas pada 2020, oleh itu, berharap atlet-atlet dari Negara Brunei Darussalam akan dapat sama-sama menyertai serta beraksi dalam temasya sukan itu nanti.

Beliau yakin dengan kerjasama erat antara Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dan BAJA, ia dapat membantu pihak kedutaan untuk menubuhkan hubungan kerjasama dengan para atlet dan persatuan sukan negara.

TYT Motohiko Kato bergambar ramai dengan ahli Jawatankuasa Eksekutif BAJA 2018/2019 yang baru dilantik semasa Mesyuarat Agung Tahunan BAJA yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan.

Di majlis berkenaan, Presiden BAJA, Hajah Najmina binti Haji Abdul Latif dalam kata alu-aluannya berkata bahawa BAJA terus mengembangkan peranannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini khususnya dalam melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu para pemohon biasiswa untuk mempersiapkan diri mereka bagi menduduki peperiksaan biasiswa masing-masing.

Di samping itu, BAJA terus membantu untuk mempromosikan Jepun sebagai salah sebuah destinasi pilihan bagi penuntut-penuntut Brunei untuk melanjutkan pengajian mereka melalui sesi perkongsian pengalaman menuntut di Jepun bagi penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi yang dikendalikan oleh para ahli BAJA.

Hajah Najmina juga berkata bahawa BAJA turut membantu dalam menyelaraskan program-program National Institute for Youth Education (NIYE) dan Kem Pertukaran Toshiba Youth Club dalam bidang-bidang pertukaran belia dan kebudayaan.

Di majlis berkenaan, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif BAJA 2018/2019 turut diumumkan di mana Hajah Najmina dilantik sebagai Presiden, Awang Mohammad Sabry bin Haji Mohd Yusof selaku Naib Presiden, Awang Mohammad Raymie bin Haji Othman sebagai Setiausaha, Dayangku Habibah binti Pengiran Haji Hidup sebagai Bendahari dan Awang Abdul Rahman bin Dr. Haji Abdul Hamid sebagai Pegawai Perhubungan Awam.