Hubungan ketenteraan terus erat

Hubungan ketenteraan terus erat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Negara Brunei Darussalam dan Bangladesh terus mempunyai hubungan dua hala dan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang termasuk juga dalam bidang pertahanan.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdul Hye berkata, kedua-dua buah negara mempunyai pertukaran delegasi tentera yang aktif termasuk lawatan oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah ke Dhaka atas jemputan Ketua Tentera Bangladesh, Jeneral Abu Belal Shafiul Haque pada tahun ini.

Pada Januari 2016 nanti, seorang pegawai kanan pertengahan dari ABDB akan mengikuti latihan dalam Kursus Kolej Pertahanan Nasional di Dhaka, Bangladesh.

Ia menandakan kali kedua seorang pegawai dari Negara Brunei Darussalam menyertai Kursus Kolej Pertahanan Nasional yang berprestij itu, katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Angkatan Bersenjata Bangladesh yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit dan isteri.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz dan TYT Mohammed Abdul Hye serta isteri masing-masing memotong kek sambutan Hari Angkatan Bersenjata Bangladesh.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz dan TYT Mohammed Abdul Hye serta isteri masing-masing memotong kek sambutan Hari Angkatan Bersenjata Bangladesh.
TYT Mohammed Abdul Hye menyampaikan ucapannya pada majlis berkenaan.
TYT Mohammed Abdul Hye menyampaikan ucapannya pada majlis berkenaan.
Di antara jemputan khas yang menghadiri majlis sambutan berkenaan.
Di antara jemputan khas yang menghadiri majlis sambutan berkenaan.

Turut hadir ialah Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih, para perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB serta pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam.

TYT Mohammed Abdul Hye berkata, Angkatan Bersenjata Bangladesh dilatih khusus untuk membantu dalam tugas-tugas pembangunan negara berkenaan di mana ia membantu penduduk negara berkenaan menangani masalah dan melaksanakan tugas bagi program pemulihan selepas kejadian bencana alam serta juga membantu dalam misi-misi pengaman.

Majlis kemudian menyaksikan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz dan TYT Mohammed Abdul Hye dan isteri masing-masing memotong kek sambutan Hari Angkatan Bersenjata Bangladesh. TYT Mohammed Abdul Hye dan isteri kemudian menyampaikan cenderahati kepada Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz dan isteri.

Hari Angkatan Bersenjata Bangladesh disambut pada setiap 21 November yang mana ia merupakan hari memperingati jasa bakti dan pengorbanan anggota Angkatan Bersenjata Bangladesh dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara serta menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan Bangladesh.

ARTIKEL YANG SAMA