Hubungan masih terputus

Hubungan masih terputus

TAIPEI, 10 Ogos (AFP) – Pihak berkuasa Taiwan bergegas membaiki jalan raya di Wulai, bandar mata air panas pergunungan hari ini, yang mana 1,100 orang tidak menerima bekalan elektrik atau air selepas Taufan Soudelor melanda pulau itu. Kejadian tanah runtuh ekoran ribut taufan, yang melanda pada awal waktu Sabtu lalu dan dianggap sebagai taufan paling kuat tahun ini, menyekat jalan raya utama ke perbandaran utara berhampiran selatan bandar Taipei.

Orang ramai kini dapat berjalan melintasi kawasan itu selepas pembaikan kecemasan kami, tetapi mungkin mengambil masa tiga atau empat hari lagi untuk kenderaan dapat melaluinya,” Chiang Chien-ming, seorang ketua jurutera jalan raya di kementerian pengangkutan memberitahu AFP.

Kira-kira 100 orang penduduk di kampung Xiaoyi yang sebelum ini tidak dapat dikesan telah dihubungi malam Sabtu lalu dan mereka dalam keadaan selamat. Tentera-tentera sedang berusaha mencari 10 orang lagi yang dilaporkan tidak dapat didatangi, jurucakap biro bomba Bandar New Taipei memberitahu AFP.

Bekalan-bekalan telah diterbangkan ke kawasan itu, kebanyakannya mi segera, roti dan air.

Rakaman video yang disiarkan di televisyen tentang bandar asli yang sebelum ini mempunyai pemandangan indah menunjukkan rumah yang rosak, jalan raya yang merekah dan timbunan runtuhan.

Soudelor mengakibatkan kira-kira tujuh kematian di Taiwan ketika ia mengakibatkan air sungai melimpah keluar dari tebingnya, mencabut pokok dan mengakibatkan tanah runtuh.

Pokok-pokok dan papan tanda yang tumbang telah merosakkan talian elektrik, memutuskan bekalan elektrik kepada bilangan paling banyak penduduk iaitu empat juta orang.

Lebih 90,000 buah keluarga masih tidak menerima bekalan elektrik hari ini, lebih dua hari selepas taufan itu melanda. Lebih 400 orang tercedera, menurut statistik kerajaan terbaru sehingga petang Sabtu.

Sektor pertanian Taiwan dianggarkan mengalami kerugian pada Tw$1 bilion akibat taufan yang terutamanya memusnahkan tanaman pisang dan limau bali.

Selepas melanda Taiwan, Soudelor melanda tanah besar China malam Sabtu lalu, membunuh 17 orang di sana dengan lima orang lagi hilang, lapor media kerajaan hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA