Hubungan mesra sentiasa terjalin

Hubungan mesra sentiasa terjalin

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Aziz Idris

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Kedutaan Besar Arab Saudi di Brunei Darussalam, malam ini, telah mengadakan Majlis Resepsi sempena Hari Kebangsaan Arab Saudi ke-85 tahun yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.

Hadir bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan isteri, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohamad.

Semasa menyampaikan ucapannya di majlis itu, Duta Besar Arab Saudi ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Hisham bin Abdul Wahab Zar’ah antara lain berkata hubungan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Arab Saudi terus erat melalui hubungan sejarah, nilai budaya dan agama, di samping komitmen kedua-dua buah negara ke arah keamanan, kemajuan dan kestabilan di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Tuan Yang Terutama turut menekankan komitmen kerajaan Arab Saudi dalam memastikan keselamatan penduduk dan rakyat daripada kumpulan-kumpulan pengganas atau pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk kepentingan bersama.

Yang Berhormat Pehin bersama Duta Besar Arab Saudi memotong kek sempena Hari Kebangsaan Arab Saudi Ke-85.
Yang Berhormat Pehin bersama Duta Besar Arab Saudi memotong kek sempena Hari Kebangsaan Arab Saudi Ke-85.

Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-85 tahun ini, ujarnya, kerajaan Arab Saudi akan terus memberikan perlindungan kepada pelarian Syria, yang mana lebih 100,000 orang pelajar Syria didaftarkan ke dalam sistem pendidikan percuma kelolaan kerajaan berkenaan.

Bukan itu sahaja, kerajaan Arab Saudi juga memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria di Jordan dan Lubnan, dalam bentuk perubatan, perlindungan dan pendidikan.

Kerajaan Arab Saudi menyediakan peruntukan khas sebanyak $700 juta untuk bantuan berkenaan dan masih diteruskan sehingga ke hari ini, tambahnya.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan laungan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan majlis turut menyaksikan tayangan klip video mengenai kerajaan Arab Saudi.

Pada majlis itu juga, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan TYT Hisham bin Abdul Wahab Zar’ah turut memotong kek sempena Hari Kebangsaan Arab Saudi.

ARTIKEL YANG SAMA