Hubungan ‘model baru’

Hubungan ‘model baru’

SEATTLE, 23 Sept (AFP) – Presiden China Xi Jinping semalam menggesa Amerika Syarikat (AS) dan China supaya lebih memahami ‘matlamat strategik’ masing-masing, meminta ‘model baru hubungan negara’ dengan lebih pemahaman dan kurang kesangsian.

Dalam satu ucapan dasar di pusat komersial pantai Pasifik Seattle pada hari pertama lawatan beliau, Xi menegaskan bahawa Beijing tidak berusaha mencari konflik meskipun hubungan tertekan dalam beberapa bidang.

“Kami mahu melihat lebih banyak pemahaman dan kepercayaan dan kurangnya kerenggangan dan kesangsian,” kata beliau.

Sebelum rundingan dengan pentadbiran Obama pada akhir minggu ini mengenai isu hangat seperti kehadiran China yang meningkat di Laut China Selatan, kecurian siber dan hak asasi manusia, Xi berusaha menenangkan hadirin yang kebanyakannya terdiri daripada ahli perniagaan dan pegawai kerajaan AS bahawa China merupakan kuasa positif dalam ekonomi global dan sedang meneruskan dengan pembaharuan berdasarkan kedaulatan undang-undang dan prinsip pasaran.

Beliau berjanji akan melayan pelabur AS di China dengan adil dan memerangi kecurian siber komersial, aduan yang meningkat ke atas China oleh ahli perniagaan Amerika.

“Kami menghormati normanorma perniagaan antarabangsa yang tidak bersikap diskriminasi,” beritahunya kepada para hadirin yang terdiri daripada ketua eksekutif beberapa perniagaan terbesar AS, termasuk Boeing, Amazon, DuPont, IBM dan Microsoft, di mana kesemua mereka mempunyai perniagaan besar di China. “Kami akan mengatasi isu pelabur asing tepat pada masanya.”

Mengenai isu penggodam, beliau berkata China sendiri merupakan mangsa dan bersedia untuk menubuhkan mekanisme “peringkat tinggi” dengan Amerika Syarikat untuk membincang masalah yang dihadapi.

“Kerajaan China tidak akan membabitkan diri dalam kecurian komersial atau menggalak atau menyokong percubaan sedemikian oleh sesiapa.”

Pada masa yang sama, beliau mencadangkan bahawa ancaman AS untuk menghukum pegawai China mengenai dakwaan menggodam adalah tidak masuk akal, berkata kecurian siber merupakan satu jenayah yang perlu didakwa “mengikut undang-undang.”