Hubungan pend...

Hubungan pendidikan Brunei-Kanada terus utuh

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Negara Brunei Darussalam dan Kanada terus menjana hubungan yang erat dalam sektor pendidikan di mana bukan sahaja pelajar-pelajar Brunei mengambil bahagian dalam pertandingan seperti Pertandingan Biologi Universiti Toronto tetapi jumlah pelajar Brunei yang memilih untuk melanjutkan pelajaran mereka di Kanada turut menunjukkan peningkatan.

Pelajar-pelajar dari Brunei kini sudah mula menuntut di pelbagai institusi pengajian yang bertaraf dunia di Kanada termasuk Universiti British Columbia, Universiti Totonto, Ottawa dan McGill.

Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Marina B. Laker ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Peserta Pertandingan Biologi Kebangsaan Universiti Toronto, 2016 yang berlangsung di Pusat Latihan Serba Guna CAE Brunei, Rimba, hari ini.

Beliau berkata lagi, Brunei seperti Kanada juga mengenal pasti bahawa ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan global yang kompetitif, idea serta inovasi bergerak bersama dengan penjanaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

Di samping itu, Kanada juga mengenal pasti bahawa pendidikan antarabangsa merupakan nadi kepada kemakmuran Kanada pada masa ini dan pada masa akan datang. Sehubungan dengan itu, jelasnya, Kanada komited untuk menarik pelajar-pelajar terbaik dan cemerlang dalam bidang penyelidikan serta sains kehidupan untuk belajar di universiti-universiti di Kanada.

Marina B. Laker bergambar ramai dengan para pelajar yang menerima anugerah dan diraikan dalam majlis berkenaan.
Marina B. Laker bergambar ramai dengan para pelajar yang menerima anugerah dan diraikan dalam majlis berkenaan.

Di majlis berkenaan, seramai 24 orang pelajar Biologi tingkatan enam daripada enam buah sekolah tempatan diraikan dan menerima anugerah pencapaian mereka bagi keputusan Pertandingan Biologi berkenaan.

Pertandingan itu dikendalikan setiap tahun pada bulan April di mana ia menarik penyertaan daripada lebih 4,000 orang pelajar dari seluruh negara. Pada 2016, pertandingan disertai seramai 240 orang pelajar daripada Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains), Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Pusat Tingkatan Enam Meragang, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, Sekolah Menengah Sayyidina Ali dan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah.

Pertandingan Biologi Kebangsaan Universiti Toronto merupakan acara tahunan antarabangsa yang dianjurkan oleh Universiti Toronto, Kanada di mana ia mengandungi soalan-soalan yang meliputi bahan-bahan relevan kepada kurikulum biologi sekolah menengah yang bukan sahaja mencabar tetapi merangsang daya pemikiran para pelajar.

Ia turut menguji ilmu pengetahuan dan pemahaman para pelajar dalam mata pelajaran Biologi secara komprehensif serta dipercayai akan memperkayakan lagi ilmu pengetahuan mereka serta menguji standard mereka di peringkat antarabangsa.

Negara Brunei Darussalam mula mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan pada 2002 dengan penyertaan daripada pelajar-pelajar Maktab Sains dan sejak itu, pelajar-pelajar dari pusat-pusat tingkatan enam dan sekolah lain di Brunei turut mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.

Di majlis berkenaan, Maktab Sains turut diberikan plak penyertaan khas yang mencatatkan jumlah pelajar terbanyak yang menyertai pertandingan berkenaan iaitu sebanyak 142 penyertaan daripada 240 penyertaan bagi Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA