Hubungan perkhidmatan awam M’sia Singapura membanggakan

Hubungan perkhidmatan awam M’sia Singapura membanggakan

SINGAPURA, 17 Okt – Hubungan perkhidmatan awam antara Malaysia dan Singapura di tahap yang amat membanggakan, menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bercakap kepada Bernama, Ali berkata ia juga merupakan refleksi daripada hubungan akrab antara kedua-dua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Lee Hsien Loong.

“Kita lihat hubungan pemimpin negara amat akrab jadi mudah untuk kita mengadakan projek secara usaha sama atau kaji sebarang isu antara dua negara dan ia dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Ali berada di Singapura baru-baru ini bagi menghadiri Program Sukan Perkhidmatan Awam ke-39 dan Seminar Bersama ke-8 bagi Pemimpin Perkhidmatan Awam Singapura dan Malaysia di sini.

Lee ketika berucap sempena Rapat Hari Kebangsaan 2016 pada Ogos lalu menyifatkan Malaysia selain Indonesia merupakan rakan terpenting Singapura. “Kami bekerja keras untuk membina hubungan kami, hubungan ini begitu sensitif dan kompleks.

“Akan ada perbezaan dari semasa ke semasa, kerana sikap mendalam mereka terhadap kita, tetapi hari ini, secara keseluruhan, hubungan antara kedua-dua negara adalah baik,” kata Lee. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA