Hubungan persahabatan sentiasa terjalin

Hubungan persahabatan sentiasa terjalin

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Sejak menjalinkan hubungan diplomatik 24 tahun yang lalu, Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China terus menikmati hubungan persahabatan, kesefahaman dan kerjasama yang terus meningkat, yang mana hubungan itu terus berkembang menerusi kerjasama dan pertukaran dua hala dalam pelbagai bidang.

Hubungan itu dapat disaksikan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat APEC di Beijing dan mengadakan perjumpaan dua hala dengan Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping pada tahun lalu.

Perkara itu dijelaskan Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian ketika berucap pada Majlis Resepsi Ulang Tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-66 di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Hadir bagi mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah berserta isteri.

Turut hadir ialah para perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan, kakitangan dari Kedutaan Republik Rakyat China serta jemputan-jemputan khas.

Yang Berhormat Pehin serta isteri dan Puan Yang Terutama Yang Jian bersama-sama memotong kek ulang tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-66.
Yang Berhormat Pehin serta isteri dan Puan Yang Terutama Yang Jian bersama-sama memotong kek ulang tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-66.

Puan Yang Terutama Yang Jian berkata, bagi 2015, delegasi dari Wilayah Guangxi dan Wilayah Hainan telah mengadakan lawatan ke Brunei manakala Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar telah menghadiri CAEXPO buat kali ketujuh berturut-turut di mana perjanjian penting telah dipersetujui di antara kedua-dua buah negara untuk menubuhkan Koridor Ekonomi Brunei-Guangxi.

Di samping itu, Puan Yang Terutama juga menyatakan perasaan amat gembira dengan penyertaan Brunei bersama negara-negara anggota ASEAN yang lain menjadi ahli pengasas bagi Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB).

Pada masa yang sama, beliau berkata bahawa pertukaran dua hala dalam pendidikan dan kebudayaan di antara Brunei dan China terus meningkat dengan lebih ramai pelajar dari Brunei belajar atau mengadakan lawatan ke China pada 2015.

Manakala itu, kumpulan kedua sukarelawan dari China telah berkunjung ke Brunei pada Ogos lalu dan mengendalikan bantuan mengajar mereka di Universiti Brunei Darussalam.

Beliau berkata lagi, pada masa ini, pameran bersama di antara Brunei dan China di Muzium Maritim telah memperkenalkan kepada lebih 20,000 penduduk Brunei mengenai pertukaran persahabatan di antara kedua-dua buah negara pada masa purba dahulu.

Puan Yang Terutama turut menyatakan bahawa China terus menyokong usaha kepelbagaian ekonomi Brunei dan bersedia untuk membantu Brunei bagi menukarkan potensinya menjadi kelebihan ekonomi dan pembangunan bagi merealisasikan Wawasan 2035 menerusi kerjasama erat dalam bidang pertanian, perikanan, pelancongan, petrokimia, infrastruktur dan pelbagai bidang lain.

Kedutaan China di Negara Brunei Darussalam juga akan terus berusaha untuk mempromosikan pertukaran dan kerjasama di antara kedua-dua buah negara.

Majlis diteruskan dengan upacara memotong kek ulang tahun yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Haji Hazair serta isteri dan Puan Yang Terutama Yang Jian yang diikuti dengan penyampaian cenderahati oleh Puan Yang Terutama kepada Yang Berhormat Pehin dan isteri.

ARTIKEL YANG SAMA