Hubungan pertahanan Brunei, India dirai

Hubungan pertahanan Brunei, India dirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit malam ini menghadiri Majlis Makan Malam Resepsi di atas kapal Tentera Laut India, INS Airavat, sebagai memberikan penghargaan terhadap hubungan persahabatan di antara Negara Brunei Darussalam dan India dalam bidang pertahanan.

Majlis makan malam itu juga bertujuan untuk meraikan kapal INS Airavat yang sedang berlabuh di Pelabuhan Muara dan akan menyertai Eksesais Keselamatan Maritim dan Antikeganasan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM Plus MS & CT).

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nagma Mohamed Mallick, Pegawai Pemerintah INS Airavat, Komander Jayant Mahadik dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.

Menurut Puan Yang Terutama Nagma Mohamed Mallick, ini adalah kali ketiga kapal INS Airavat berkunjung ke Brunei selepas kunjungan pertama pada Julai 2011.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bersama Puan Yang Terutama Nagma Mohamed Mallick memotong kek sebagai tanda persahabatan Brunei-India.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bersama Puan Yang Terutama Nagma Mohamed Mallick memotong kek sebagai tanda persahabatan Brunei-India.

Pada majlis itu, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bersama Puan Yang Terutama memotong kek tanda persahabatan Brunei-India.

INS Airavat merupakan kapal pendaratan kereta kebal yang direka dan dibina di India. Kapal tersebut mampu mengangkut 500 anggota, 10 buah kereta kebal dan 11 buah lori tempur. Kapal INS Airavat boleh digunakan bagi pelbagai misi termasuk operasi amfibia serta operasi bantuan kemanusiaan dan bencana.

Semasa latihan itu nanti, Tentera Laut India dijangka terlibat bersama dengan tentera laut-tentera laut dari Brunei, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Malaysia, Myanmar, China, Jepun, Rusia, Australia, Republik Korea, dan Amerika Syarikat menerusi interaksi profesional di pelabuhan dan operasi kompleks di lautan.

ARTIKEL YANG SAMA