Hubungan pertahanan Brunei-S’pura terus dipererat

Hubungan pertahanan Brunei-S’pura terus dipererat

BOLKIAH GARISON, 15 Mac – Dialog Dasar Pertahanan ke-5 antara Brunei Darussalam dan Republik Singapura berlangsung pagi ini di Mes Pegawai Kementerian Pertahanan di sini.

Dialog yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar dan Setiausaha Tetap (Pertahanan) Kementerian Pertahanan, Republik Singapura, Chan Yeng Kit itu turut dihadiri oleh para pegawai ketenteraan dan awam dari kedua-dua negara.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, kedua-dua pengerusi bersama telah menegaskan semula hubungan pertahanan dua hala yang istimewa dan telah lama terjalin antara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Selain membincangkan pelbagai isu-isu serantau dan keselamatan, mereka juga menyebutkan tentang ulang tahun ke-40 hubungan pertahanan dua hala antara Brunei Darussalam dan Republik Singapura serta menegaskan komitmen mereka untuk seterusnya mengukuhkan kerjasama pertahanan dua hala.

Datin Paduka Hajah Suriyah semasa mempengerusikan bersama Dialog Dasar Pertahanan ke-5 antara Brunei Darussalam dan Republik Singapura kelmarin.
Datin Paduka Hajah Suriyah semasa mempengerusikan bersama Dialog Dasar Pertahanan ke-5 antara Brunei Darussalam dan Republik Singapura kelmarin.

Chan Yeng Kit berada di negara ini dari 14 hingga 15 Mac 2016. Sebagai sebahagian daripada lawatan, beliau telah melawat Kompleks FIBUA dan Pusat Latihan Simulasi di Kem Penanjung.

Beliau juga melawat Pusat Simulasi dan Modeling Kebangsaan (NMSC) dan Pusat Latihan Serbaguna Brunei CAE.

Beliau juga mengadakan kunjungan hormat dengan Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.

Dialog Dasar Pertahanan antara Brunei Darussalam dan Republik Singapura yang bermula pada 2009 antara lain bertujuan meningkatkan kerjasama pertahanan menerusi rundingan, perkongsian maklumat dan menerokai lapangan baru kerjasama praktikal, terutamanya di peringkat strategik.

ARTIKEL YANG SAMA