Hubungan saya dan Zidane amat baik – Benitez

Hubungan saya dan Zidane amat baik – Benitez

MADRID, 20 Dis (AFP) – Rafael Benitez menganggap hubungannya dengan jurulatih pasukan remaja Real Madrid, Zinedine Zidane, adalah baik, meskipun bekas pemain Perancis itu dilaporkan bakal mengambil alih tugasnya.

Cuma apabila ditanya pendapatnya mengenai Jose Mourinho yang disingkirkan daripada Chelsea, Benitez dilihat kurang bersimpati terhadap nasib bekas jurulatih Madrid itu.

“Saya tidak mempunyai sebarang pendapat, saya mahu memberi tumpuan terhadap perlawanan saya sendiri,” kata bekas pengurus Liverpool itu ketika ditanya mengenai Mourinho.

Tiga kekalahan dalam lima perlawanan liga, termasuk tewas 4-0 kepada Barcelona, menyebabkan Madrid kini ketinggalan lima mata di belakang Catalans dan Atletico Madrid dalam kedudukan liga.

Meskipun disokong presiden kelab, Florentino Perez, khabar angin mengatakan situasi yang berlaku di bilik persalinan dan andai Madrid mengalami satu lagi kekalahan dalam minggu akan datang, ia bakal menggugat jawatan Benitez.

Kedudukan Benitez mungkin tergugat sekiranya dia tidak mampu membawa kemenangan buat Real Madrid pada perlawanan akan datang. – Reuters
Kedudukan Benitez mungkin tergugat sekiranya dia tidak mampu membawa kemenangan buat Real Madrid pada perlawanan akan datang. – Reuters

Zidane masih kekurangan pengalaman, dengan hanya kini membimbing pasukan pelapis Madrid, Castilla, tetapi menjadi pilihan popular dalam kalangan peminat berdasarkan status hero selepas menjaringkan gol kemenangan pada final Liga Juara-Juara 2002.

“Zidane adalah jurulatih yang bagus, dia kini di peringkat pembelajaran dan mempunyai hubungan yang baik dengan saya.

“Kami bertukar maklumat mengenai pemain yang boleh ditampilkan (ke pasukan senior) dan kemudian kembali seperti biasa, tidak lebih daripada itu,” kata Benitez.

Keputusan yang diperoleh Benitez dalam tempoh enam bulan mengambil alih kelab itu adalah lebih buruk berbanding tiga jurulatih terdahulu – Carlo Ancelotti, Mourinho dan Manuel Pellegrini.

Bagaimanapun, dia membalas balik kritikan dengan mengatakan kebanyakan pemain utama mengalami kecederaan di Madrid pada musim ini dengan menegaskan mereka akan memenangi La Liga dan Liga Juara-juara pada penghujung musim ini.

ARTIKEL YANG SAMA