Hujan lebat banjiri kawasan Beaufort

Hujan lebat banjiri kawasan Beaufort

BEAUFORT, 9 Sept – Hujan lebat yang melanda daerah ini sejak petang semalam menyebabkan dua kampung iaitu Kampung Bakau dan kampung Tamalamgalong terjejas akibat banjir kilat.

Penolong Pegawai Dearah Pembangunan Beaufort Justinson Sondoh berkata hujan lebat yang bermula kira-kira pukul 7 malam, semalam itu turut mengakibat beberapa jalan termasuk Jalan Sipitang-Bukau dinaiki air dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Bagaimanapun jalan berkenaan (Jalan Sipitang-Bukau) masih boleh dilalui kenderaan.

“Setakat ini belum ada mangsa yang dipindahkan. Namun kita telah membuka pusat kawalan untuk persedian menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah dalam kenyataan berkata pihaknya sedang memantau keadaan di beberapa lokasi di sekitar Kota Kinabalu termasuk memantau kawasan di daerah Penampang, Beaufort dan Membakut, ekoran hujan lebat berkenaan.

Jalan utama Bukau menuju ke Sipitang dinaiki air akibat banjir yang melanda daerah Beaufort. Tinjauan fotoBernama mendapati pengguna yang melalui jalan tersebut terpaksa meredah air sungai kerana setakat ini belum ada lagi jalan alternatif lain yang digunakan. – Bernama
Jalan utama Bukau menuju ke Sipitang dinaiki air akibat banjir yang melanda daerah Beaufort. Tinjauan fotoBernama mendapati pengguna yang melalui jalan tersebut terpaksa meredah air sungai kerana setakat ini belum ada lagi jalan alternatif lain yang digunakan. – Bernama

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar kawasan Kampung Bukau, Beaufort mendapati kebanyakan rumah di perkampungan itu telah dinaiki air berikutan hujan lebat yang berlarutan sehingga hari ini.

Seorang mangsa, Fiona Tang Sue Mei, 21, berkata kawasan rumah mereka mula dinaiki sejak semalam dan ia masih berlarutan sehingga hari ini ekoran hujan yang berpanjangan.

“Pada pukul 10 malam tadi air mula menaiki kawasan tingkat bawah rumah. Namun keadaan banjir itu masih terkawal kerana apabila hujan berhenti, air di sekitar rumah kami akan surut dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan Sungai Padas, Beufort mendapati air mula melimpahi kawasan rendah di sekitar tempat itu namun masih dalam keadaan yang terkawal dan selamat kerana hujan telah berhenti. – Bernama