Hujan lebat bunuh lebih 40 jiwa

Hujan lebat bunuh lebih 40 jiwa

SANAA, 15 April (AFP) – Hujan lebat telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 42 orang sejak minggu lalu di Arab Saudi dan Yaman, menurut kenyataan dari kedua-dua negeri jiran, Khamis.

Dua puluh empat orang terbunuh di utara Yaman, manakala 18 nyawa terkorban dalam kejadian banjir di Arab Saudi yang disebabkan oleh hujan lebat, menurut kenyataan. Sumber keselamatan berkata 10 orang mati di wilayah Amran, utara ibu negara Yaman, Sanaa, ramai yang masih hilang.

Banjir telah merosakkan beberapa buah rumah dan memutuskan perhubungan jalan raya di kedua-dua Amran dan Hajjah, barat laut Sanaa, di mana 14 orang terbunuh, sebahagian daripada mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh. Empangan pecah menyebabkan banjir melimpah dan juga keruntuhan jambatan di Selatan Hajjah, wilayah Al-Mahwit, menurut sumber.

Di Arab Saudi, 18 orang terbunuh dalam hujan lebat pada minggu lalu, kata agensi pertahanan awam. Dalam satu kenyataan, ia berkata, jumlah itu meliputi kebanyakkan negara, dari Riyadh hinggalah ke Hail, Makkah, Madinah, Al-Baha, Asir, Najran dan Jazan.

Seorang pekerja perbandaran Arab Saudi membersihkan jalan yang banjir di Riyadh semasa hujan lebat di seluruh ibu negara Arab Saudi, Rabu lalu. – AFP
Seorang pekerja perbandaran Arab Saudi membersihkan jalan yang banjir di Riyadh semasa hujan lebat di seluruh ibu negara Arab Saudi, Rabu lalu. – AFP

Agensi itu berkata ia telah menyelamatkan 915 orang. Antara yang maut pasangan dari rantau barat daya Jazan, yang bersempadan dengan Yemen. Pasangan tersebut meninggal dunia ketika tiga kawasan di daerah pergunungan dinaiki air banjir, menurut saluran berita Al-Ekhbaria yang dilaporkan pada laman Twitternya.

Bulan Sabit Merah Arab Saudi dalam satu laporan yang berasingan mengatakan satu kematian dicatakan di Al-Baha, lebih daripada 300 kilometer (180 batu) utara bandar Jazan. Manakala 27 orang lagi cedera di Al-Baha dalam masa tiga hari oleh kerana kemalangan semasa hujan lebat.

Hujan lebat yang teruk telah melanda Arab Saudi minggu ini, termasuk di ibu negara padang pasir Riyadh dimana sekolah-sekolah terpaksa ditutup semalam selepas banjir menyebabkan kesesakan lalu lintas semasa hujan rebut itu berlaku.