Hujan lebat ragut lapan jiwa di Sri Lanka

Hujan lebat ragut lapan jiwa di Sri Lanka

COLOMBO, 16 Mei (Xinhua) – Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan beribu-ribu lagi terpaksa pindah akibat hujan lebat dan angin kencang di kebanyakkan tempat di Sri Lanka semalam, menurut Pusat Pengurusan Bencana (DMC).

DMC, dalam satu kenyataan berkata, salah seorang mangsa juga telah dilaporkan hilang dari Daerah Ratnapura di Wilayah Sabaragamuwa dan operasi mencari sedang dijalankan bagi mengesan individu tersebut.

Lebih 7,000 orang telah terjejas dan 422 telah dipindahkan akibat hujan dan angin kuat yang bermula pada petang Sabtu lalu.

Sekurang-kurangnya 30 rumah rosak akibat puting beliung yang melanda bandar pantai selatan Panadura. Operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan oleh tentera di kawasan itu.

Cuaca yang melampau dengan hujan dan angin yang kuat telah berterusan pada hari kedua semalam selepas Jabatan Meteorologi tempatan berkata gangguan atmosfera di sekitar Sri Lanka telah menjadi buruk ke kawasan tekanan rendah di tenggara Sri Lanka.

Kenderaan mengharungi jalan yang ditenggelami air di kawasan berhampiran Colombo, Sri Lanka, Ahad lalu. – Xinhua
Kenderaan mengharungi jalan yang ditenggelami air di kawasan berhampiran Colombo, Sri Lanka, Ahad lalu. – Xinhua

Amaran cuaca berkata hujan lebat dijangka berterusan sekurang-kurangnya 48 jam lagi. Terdahulu pada hari Ahad, DMC mengeluarkan amaran tanah runtuh pada tujuh daerah dan menasihatkan penduduk di kawasan itu untuk terus berhati-hati.

Pintu kunci air pada dua empangan juga telah dibuka apabila paras air telah mencapai tahap yang tinggi dan warga yang tinggal di kawasan berhampiran telah dipindahkan.

Kebanyakkan jalan di beberapa tempat di negara itu telah terputus hubungan akibat banjir dan Palang Merah Sri Lanka berkata kakitangannya telah dikerahkan untuk membantu sesiapa sahaja yang mungkin terjejas oleh cuaca buruk itu.

Angkatan tentera juga telah bersedia dan Kementerian Pertahanan menasihatkan orang ramai agar dapat mendapatkan bantuan kecemasan daripada pasukan tentera tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA