Hujan monsun jejas beberapa buah negara

Hujan monsun jejas beberapa buah negara

YANGON, 2 Ogos (AFP) – Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh di Myanmar selepas hujan lebat beberapa hari mungkin meningkat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB-UN) mengingatkan hari ini, tatkala hujan monsun membawa kesengsaraan kepada beribu-ribu penduduk di seluruh rantau.

Sekurang-kurangnya 27 orang telah terbunuh dan lebih 150,000 orang terjejas akibat banjir di Myanmar dalam beberapa hari ini, dengan kerajaan mengisytiharkan empat kawasan yang paling teruk terjejas di tengah dan barat Myanmar sebagai “rantau yang terjejas oleh bencana negara.”

Berpuluh orang juga terkorban di India, Nepal, Pakistan dan Vietnam ekoran banjir dan runtuhan tanah yang dicetuskan oleh hujan lebat bermusim.

Kerja-kerja menyelamat di Myanmar telah terhambat oleh hujan lebat dan kegagalan memasuki kebanyakan rantau terpencil yang paling teruk terjejas akibat banjir tersebut.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata hari ini ia telah dimaklumkan oleh Jabatan Bantuan dan Penempatan Semula kerajaan Myanmar bahawa sekurang-kurangnya 156,000 orang telah terjejas oleh banjir.

Pemandangan menyeluruh menunjukkan kawasan yang dibanjiri di Kalay, Rantau Sagaing, Myanmar pada 1 Ogos. – AFP
Pemandangan menyeluruh menunjukkan kawasan yang dibanjiri di Kalay, Rantau Sagaing, Myanmar pada 1 Ogos. – AFP

Namun angka tersebut mungkin “jauh lebih tinggi” disebabkan banyak kawasan “masih belum dimasuki atau dilaporkan oleh kumpulan penilaian,” agensi mengingatkan.

OCHA berkata jumlah kematian seramai 27 juga mungkin lebih rendah.

“Tatkala maklumat lanjut diperoleh, angka ini juga dijangka meningkat,” kata kenyataan.

Hujan monsun bermusim juga telah membawa kematian dan pemusnahan ke negara Asia lain.

Kira-kira 20 orang dikhuatiri mati selepas sebuah bukit runtuh di sebuah kampung di negeri timur laut India Manipur semalam selepas hujan turun tanpa henti-henti, kata majistret tempatan.

Anggota menyelamat hari ini mengharungi lumpur dan runtuhan untuk mencari mayat serta mangsa kemalangan di kampung terpencil di daerah Chandel yang bersempadan dengan Myanmar.

“Setakat ini kami menerima laporan 20 orang terbunuh apabila sebuah bukit runtuh dan memerangkap penduduk kampung,” beritahu majistret Memi Mary kepada AFP menerusi telefon dari bandar Chandel.

Hujan lebat telah mencetuskan banjir di tempat lain di India termasuk negeri barat Gujarat di mana angka kematian telah mencecah 53 orang.

Di Vietnam, anggota menyelamat sedang bergelut dengan runtuhan lumpur toksik daripada lombong arang batu yang dibanjiri di utara Quang Ninh, tempat terletaknya tapak pelancong Halong Bay yang disenarai di UNESCO.