Hujan ribut mengejut adalah kesan LINFA

Hujan ribut mengejut adalah kesan LINFA

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai – Kejadian hujan lebat mengejut yang berlaku di seluruh negara malam tadi adalah disebabkan oleh kesan sampingan daripada ribut tropika LINFA yang kini berada di 17.4 N 122,5 E, Utara Filipina.

Pemangku Pengarah Kaji cuaca, Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, Awang Muhamad Husaini bin Aji berkata, tiupan angin maksimum dicatatkan pada Stesen Pemerhatian Meteorologi (Meteorological Observation Station) di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei semasa kejadian itu pada jam 10.30 malam adalah kira-kira 46 km sejam (23knots).

Angin kencang mendahului hujan mengejut itu terbentuk beberapa kilometer ke hadapan hujan, menyebabkan kelajuan angin yang tinggi, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut ramalan terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Taufan Bersama (The Joint Typhoon Warning Centre), Hawaii Amerika Syarikat, ribut tropika LINFA diramalkan untuk bergerak ke utara Filipina dalam tempoh beberapa hari akan datang, oleh itu kesan sampingan akhir dan intensiti hujan mengejut ke atas negara ini dijangka akan berkurang.

Bagaimanapun keadaan laut akan kekal pada keadaan yang sederhana (1.0-2.0 m) untuk beberapa hari lagi, jelas beliau.

Bulan Jun hingga September adalah tempoh Monsun Barat Daya Negara Brunei Darussalam di mana keadaan cuaca yang biasa adalah kering tetapi dengan lintasan sekali-sekala hujan lebat yang mengejut. Semasa monsun Barat Daya, pembentukan ribut tropika atau taufan ke atas Lautan Pasifik meningkat dan landasan biasanya melintasi Filipina atau Laut China Selatan.

Keadaan cuaca yang berkaitan biasanya hujan lebat disertai dengan angin kencang yang merupakan perkara biasa semasa Monsun Barat Daya.

“Memandangkan situasi ini, kami ingin menasihatkan orang ramai, pengguna jalan raya, dan terutamanya pelaut untuk mengambil langkah-langkah yang perlu dan langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan mencegah kejadian yang tidak diingini.

“Kami akan terus memantau keadaan cuaca secara dekat lagi dan akan mengeluarkan nasihat atau amaran mengenai cuaca, dan apabila perlu mengikut Prosedur Operasi Standard kami,” kata Awang Muhamad Husaini.

Untuk maklumat cuaca yang terkini, orang ramai boleh menghubungi Peramal Cuaca Tugas Meteorologi (Duty Meteorologial Forecaster) di talian 114 atau 2345567, atau layari laman web kami di www.met.gov.bn atau ikuti laman facebook kami, Brunei Darussalam Meteorological Department.

ARTIKEL YANG SAMA