Hujan sederhana lebat di Sabah dan Sarawak

Hujan sederhana lebat di Sabah dan Sarawak

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Hujan yang kadangkala menjadi sederhana lebat di beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka berterusan sehingga hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam kenyataan di sini, hari ini berkata, keadaan angin kencang dan laut bergelora Kategori Kedua juga dijangka berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang bermula hari ini hingga Jumaat.

Beliau berkata keadaan laut bergelora dan angin kencang peringkat pertama juga dijangka berlaku di kawasan perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South, Palawan, Kuching, Labuan, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak sehingga Jumaat ini.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Selain itu, katanya, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian air pasang tinggi yang dijangka berlaku sehingga Jumaat ini. – Bernama