Hujan tangguh aksi Citizen, M’gladbach

Hujan tangguh aksi Citizen, M’gladbach

MANCHESTER, 14 Sept – Pertem-bungan Liga Juara-Juara membabitkan Manchester City dan Borussia Moenchengladbach terpaksa dibatalkan 20 minit sebelum sepak mula, kelmarin berikutan hujan lebat di Stadium Etihad, dengan perlawanan dijadual semula, awal pagi esok.

“Hujan lebat yang turun di sekitar Manchester sepanjang petang menyebabkan beberapa bahagian di atas padang ditakungi air, yang memaksa keputusan atas alasan keselamatan,” kata City dalam satu kenyataan.

Selain hujan lebat, guruh dan kilat yang berlaku beberapa jam sebelum perlawanan memaksa perlawanan Kumpulan C itu ditunda dengan pegawai dari UEFA dan pegawai perlawanan memeriksa keadaan padang sejam sebelum perlawanan.

Kedua-dua pasukan tidak melakukan sesi memanaskan badan. Jalan di pusat bandar raya Manchester juga dinaiki air dan trem yang membawa peminat ke stadium juga tidak dapat digunakan.

Peminat Moenchengladbach yang sudah berkumpul di stadium untuk menyaksikan perlawanan itu mengejek dan mencemuh apabila pengumuman penangguhan dibuat menerusi sistem pembesar suara.

Beberapa pegawai perlawanan memeriksa padang semasa hujan lebat yang menangguhkan perlawanan City dan Monchengladbach di Stadium Etihad kelmarin. – AFP
Beberapa pegawai perlawanan memeriksa padang semasa hujan lebat yang menangguhkan perlawanan City dan Monchengladbach di Stadium Etihad kelmarin. – AFP

Skuad kelab dari Jerman itu kemudian datang ke padang untuk memberi tepukan kepada penyokong mereka dan melakukan “Thunderclap” yang dipopularkan oleh Iceland ketika Euro 2016.

Sebelum itu, Gladbach mahu permainan yang dijadualkan semula itu dilangsungkan pada pukul 6 petang waktu tempatan kelmarin, namun City tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi pada masa itu.

“Kami meminta UEFA dan Manchester City untuk bermain pada pukul enam esok atas sebab-sebab sukan dan kami mahu pulang ke Jerman (selepas permainan),” kata jurucakap Gladbach Markus Aretz kepada pemberita.

“Namun City tidak dapat menunaikannya. Saya tidak tahu kenapa. Kami tidak berpuas hati dengan itu. Saya rasa tidak bagus apabila anda perlu untuk tinggal satu hari lebih lama daripada segala-galanya yang dirancang.”

Tiket untuk perlawanan itu bagaimanapun masih sah, tetapi Gladbach menjangkakan hanya antara 400 dan 500 daripada anggaran 1,600 peminat yang pergi ke Etihad pada Selasa dapat hadir lewat hari ini. – AP

ARTIKEL YANG SAMA