Hukuman 3 tahun miliki dadah

Hukuman 3 tahun miliki dadah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhi hukuman tiga tahun penjara ke atas seorang lelaki tempatan selepas menolak permohonannya yang ingin menukar pengakuan ‘bersalah’ kepada ‘tidak bersalah’ atas pertuduhan mengambil dadah terkawal pada 2008 dan 2011.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman memberitahu tertuduh, Haji Hanipah bin Haji Mohamad bahawa pengakuan bersalah yang direkodkan daripadanya pada 23 Januari 2016 adalah jelas dan tidak mempunyai keraguan.

“Kamu menjawab ‘ya’ ketika jurubahasa mahkamah bertanya sama ada kamu memahami pertuduhan dan hukuman yang dibacakan ke atas kamu ketika itu,” kata Majistret.

Terdahulu, tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia membuat pengakuan bersalah kerana dimaklumkan akan mendapat pengurangan hukuman. Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengambil dadah kelas A, Methylamphetamine pada 11 Oktober 2008.

pg06_160128_mahkamah logo

Bagi pertuduhan kedua, dia turut didakwa mengambil Methylamphetamine pada 10 November 2011.

Untuk kedua-dua kesalahan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 22 yang membawa maksimum 10 tahun penjara, denda $20,000, dan untuk kesalahan kedua dan seterusnya ialah sekurang-kurangnya tiga tahun penjara.

Tertuduh sebelum ini mempunyai sabitan bagi kesalahan yang sama pada 1990 dan 2002.Majistret Hajah Ervy memerintahkan hukuman ke atas tertuduh bermula hari ini. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Amiriah binti Haji Ali.

ARTIKEL YANG SAMA