Hukuman berat menanti Dembele

Hukuman berat menanti Dembele

LONDON, 6 Mei (Agensi) – Persatuan Bola Sepak (FA) England mengesahkan pihak mereka telah memulakan proses pendakwaan terhadap pemain tengah Tottenham Hotspur, Mousa Dembele atas tuduhan mencucuk mata penyerang Chelsea, Diego Costa pada aksi Liga Perdana kelmarin.

Berdasarkan kenyataan FA England semalam, kebiasaannya seseorang pemain akan digantung tiga perlawanan sekiranya didapati bersalah melakukan kekasaran terhadap pemain lain.

Bagaimanapun FA England menjelaskan, kelakuan ganas melibatkan pemain antarabangsa Belgium itu dilihat sebagai sangat serius dan mungkin berdepan hukuman penggantungan untuk tempoh lebih panjang.

Bekas pemain Fulham itu diberi peluang mengemukakan rayuan kepada FA England, namun laporan awal mencadangkan Dembele boleh dikenakan pergantungan sehingga 10 perlawanan.

“Dembele telah didakwa atas tuduhan berkelakuan ganas. Kesalahan itu tidak disaksikan pegawai perlawanan tetapi dikesan menerusi pita rakaman.

Dembele dan Diego ketika bersaing pada perlawanan di Stadium Stamford Bridge, London. Dembele didakwa FA atas tuduhan mencucuk mata Diego pada aksi Liga Perdana kelmarin. – AP
Dembele dan Diego ketika bersaing pada perlawanan di Stadium Stamford Bridge, London. Dembele didakwa FA atas tuduhan mencucuk mata Diego pada aksi Liga Perdana kelmarin. – AP

“Pemain tengah Tottenham Hotspur itu melakukan perbuatan ganas terhadap pemain Chelsea, Diego Costa sebelum tamat separuh masa pertama.

“Sehubungan itu, perbuatan tersebut boleh dikenakan tuduhan me­lakukan perbuatan ganas. Hukuman standard ialah penggantungan tiga perlawanan tetapi ia dilihat tidak setimpal,” ujar FA England menerusi satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Spurs dan Chelsea turut didakwa atas kesalahan gagal mengawal tingkah laku pemain masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA