Hukuman boleh diringankan jika pamer bukti sabotaj

Hukuman boleh diringankan jika pamer bukti sabotaj

KUALA LUMPUR, 24 Dis (BH) – Hukuman gantung empat tahun yang dikenakan terhadap ikon bina badan Malaysia, Sazali Samad hanya boleh dikurangkan jika dia berjaya membuktikan dirinya disabotaj pihak tertentu.

“Peluang untuk mengurangkan hukuman hanya boleh dibuat jika terdapat unsur sabotaj daripada pihak ketiga tetapi perlu ada bukti kukuh.

“Selain itu, hukuman yang dikenakan tidak boleh dikurangkan,” kata Ketua Unit Agensi Anti-Doping Malaysia, Nishel Kumar ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Nishel menjelaskan hukuman empat tahun yang dikenakan terhadap Mr Universe sebanyak 10 kali itu adalah hukuman mandatori (wajib) yang perlu dipatuhi di bawah peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) berkuat kuasa awal tahun ini.

Atlet bina badan Malaysia Sazali Samad yang telah digantung empat tahun berikutan isu doping.
Atlet bina badan Malaysia Sazali Samad yang telah digantung empat tahun berikutan isu doping.

Olahragawan Kebangsaan 2014 itu bagaimanapun mempunyai hak untuk merayu dalam tempoh 21 hari bermula tarikh hukuman, Isnin lalu kerana rayuan adalah hak bagi seorang atlet.

“Persatuan (Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) pula perlulah menubuhkan satu jawatankuasa rayuan jika atlet memfailkan rayuan,” katanya.

Semalam BH Sukan melaporkan Sazali akan mengemukakan rayuan kepada pihak yang bertanggungjawab walaupun fikirannya masih bercelaru berhubung konflik itu.

“Kepala tengah serabut sekarang… tapi saya akan buat rayuan,” katanya.