Hukuman dalam Islam bersifat mendidik jiwa

Hukuman dalam Islam bersifat mendidik jiwa

TAWAU, 17 Nov – Islam adalah agama yang menitikberatkan amalan kasih sayang serta kesederhanaan dan itu boleh dilihat menerusi keindahan hukuman dalam Islam yang bersifat mendidik jiwa pesalah, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata hukuman dalam Islam juga bertujuan untuk menjauhi perbuatan yang terlarang dalam agama dan melanggar norma masyarakat.

“Namun jangan sampai pelaksanaannya dilakukan secara kurang berhikmah yang akhirnya boleh menimbulkan salah faham masyarakat dan merencatkan keindahan Islam itu sendiri,” katanya pada perasmian Seminar Kebangsaan Sebatan Syariah 2016 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Musa berkata bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan undang-undang dengan sempurna dan teratur, kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk melakukan yang terbaik demi memastikan ketenteraman dan keselesaan hidup berteraskan nilai-nilai murni yang dianjurkan Islam. “Ini termasuk menambah baik undang-undang berkaitan hal ehwal Islam,” katanya.

Mengenai program hari ini,  menurutnya akan berupaya menambah pengetahuan para peserta yang terdiri daripada pelbagai profesion dan latar belakang mengenai selok-belok pelaksanaan hukuman sebatan syariah dengan bimbingan daripada beberapa penggubal dan pakar undang-undang dalam bidang iTU. Seminar disertai 175 orang daripada jabatan berkaitan Islam dari setiap negeri. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA