Hukuman ditangguhkan sementara

Hukuman ditangguhkan sementara

ISLAMABAD, 19 Jun (Agensi) – Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif telah mengarahkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati di bulan suci Ramadan yang bermula di negara itu hari ini, menurut para pegawai.

Sharif telah menarik balik moratorium enam tahun ke atas pelaksanaan hukuman mati selepas Taliban menyerang sebuah sekolah tentera dan membunuh hampir 150 orang kanak-kanak, guru-guru dan anggota kakitangan di Peshawar dalam bulan Disember lalu.

Kerajaan sebelumnya telah menyatakan bahawa hukuman mati akan dilaksanakan dalam kes-kes berkaitan keganasan, bagaimanapun ia kemudian diperluaskan kepada kes-kes jenayah yang belum selesai.

“Perdana Menteri Muhammad Nawaz Sharif telah mengarahkan pelaksanaan hukuman mati yang dijadualkan pada bulan Ramadan mungkin ditangguhkan buat sementara untuk menghormati bulan suci ini,” kata pejabat Perdana Menteri.

“Arahan berhubung perkara ini telah dikeluarkan kepada Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan wilayah bagi memastikan pelaksanaan,” menurut kenyataan itu.

Penduduk Islam di Pakistan mengerjakan solat Jumaat pertama di bulan Ramadan kelmarin. – AFP
Penduduk Islam di Pakistan mengerjakan solat Jumaat pertama di bulan Ramadan kelmarin. – AFP

Para pegawai berkata lebih 150 penghukuman mati telah dilaksanakan dalam tempoh enam bulan lalu dalam kes-kes yang belum selesai yang mana rayuan para pesalah telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan presiden.

PBB, EU, dan kumpulan hak asasi antarabangsa membantah hukuman mati di Pakistan, dan menggesa supaya moratorium disambung semula.

Kerajaan bagaimanapun mempertahankan keputusannya dan menolak semua tekanan.

ARTIKEL YANG SAMA