Hukuman ke atas Rossi tidak setimpal – Lorenzo

Hukuman ke atas Rossi tidak setimpal – Lorenzo

SEPANG, 26 Okt (Agensi) – Pesaing Valentino Rossi bagi kejuaraan dunia, Jorge Lorenzo berasakan rakan sepasukannya di Movistar Yamaha itu hanya diberi hukuman ringan oleh steward berikutan insiden menolak Marc Marquez pada perlumbaan semalam.

Rossi dan Marquez dilihat bersentuhan pada selekoh ke-14 di pusingan keenam yang kemudian menyaksikan pelumba Repsol Honda itu terjatuh dan gagal meneruskan saingan.

Juara dunia sembilan kali itu kemudian dikenakan hukuman bermula di petak paling belakang pada Grand Prix Valencia dua minggu lagi dengan mata yang diraih selepas meraih podium ketiga semalam tidak ditarik balik.

Bercakap pada sidang media semalam tanpa kehadiran Rossi yang difahamkan sudah pulang lebih awal, Lorenzo berkata, hukuman yang dikenakan ke atas Rossi tidak adil.

“Secara jujur, saya rasa ia bukanlah keputusan yang terbaik kerana dia sengaja menolak Marquez.

“Marquez kemudian terjatuh dan tidak dapat meraih sebarang mata, tapi Rossi tetap kekal meraih 16 mata,” katanya.

Lorenzo berkata, mungkin kerana nama Rossi cukup besar dalam arena MotoGP, maka hukuman yang dikenakan ke atasnya tidak terlalu berat.

“Namanya begitu penting untuk saingan ini. Jadi mereka tidak mahu menghukumnya dengan menolak mata.

“Dia akan bermula di petak akhir (di Valencia), tapi ia sama sekali tidak adil,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA