Hukuman keras ke atas penyeludup barang subsidi

Hukuman keras ke atas penyeludup barang subsidi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Kementerian Kewangan mengambil maklum cadangan bagi memasukkan hukuman penjara secara mandatori ke atas penyeludupan rokok.

Ia akan dapat meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, yang mana perkara ini telah terbukti apabila sebilangan daripada penyeludup minyak bersubsidi dikenakan hukuman penjara di samping denda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berkata, Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kastam dan Eksais Diraja secara berterusan akan meneliti langkah-langkah dan tindakan yang perlu untuk memastikan tindakan-tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk diambil.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab persoalan yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohd Jaafar mengenai dengan aktiviti penyeludupan rokok semasa sesi permesyuaratan hari keempat Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin juga menyahut saranan yang dihadapkan oleh Yang Berhormat Haji Jumat bin Akim supaya Jabatan Perancangan dan Kemajuan Kemajuan Ekonomi (JPKE) memantau warga yang diberikan bantuan kebajikan. Menurutnya, pemberian bantuan-bantuan kebajikan ini adalah di bawah bidang tugas dan tanggungjawab beberapa buah jabatan serta di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah.
Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman.
Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman.

Menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking mengenai warga emas yang diabaikan, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa walaupun pada masa ini, tidak terdapat undang-undang khusus yang mewajibkan tanggungjawab penjagaan dan kebajikan warga emas ke atas ahli-ahli keluarga namun tidaklah seharusnya terdapat kejadian di mana warga emas diabaikan dan terbiar hak-hak mereka oleh ahli keluarga mereka.

Sebagai sebuah masyarakat yang dididik dengan amalan budaya yang berteraskan agama Islam lebih-lebih lagi dengan sistem amalan bernegara berteraskan Melayu Islam Beraja, hak-hak kebajikan masyarakat secara menyeluruh adalah perkara penting mengikut hak-hak kehidupan dan kebajikan mereka apatah lagi hak-hak kebajikan orang-orang tua dan warga emas dalam kalangan masyarakat ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang anak untuk menjaga kehidupan orang tua kita apabila mereka menempuh hari-hari tua dan bukan mengabaikan dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang lain,” tekan beliau.

Manakala itu, ujar Yang Berhormat Pehin lagi, bagi warga emas yang tidak mempunyai keluarga atau saudara mara untuk menjaga kebajikan mereka, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah memainkan peranan dalam memberikan pemedulian melalui pelbagai bantuan.

Menyentuh mengenai isu servis caj dan penggunaan caj sebanyak tiga peratus ke atas pembelian bagi penggunaan kad debit ataupun kad kredit yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim Yang Berhormat Pehin berkata amalan peniaga yang mengenakan servis caj yang dikongsi tersebut amat mendukacitakan. Perkara ini, katanya, sepatutnya tidak lagi berlaku kerana agensi-agensi kerajaan seperti Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) telah mengambil langkah-langkah untuk memberhentikan amalan ini kerana ia menyalahi undang-undang.

Jika para peniaga didapati mengenakan servis caj tanpa pengetahuan pelanggan, para peniaga berkenaan boleh dikaitkan sebagai melakukan amalan tidak saksama.

Sehubungan dengan itu, amalan yang tidak sihat ini boleh diadukan kepada agensi yang bertanggungjawab dalam mengawal selia institusi-institusi kewangan.

ARTIKEL YANG SAMA