Hukuman kes pecah amanah diketahui 28 September ini

Hukuman kes pecah amanah diketahui 28 September ini

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160922_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Seorang penolong pegawai kewangan di Jabatan Kerja Raya (JKR) bakal berdepan hukuman penjara sehingga tempoh lima tahun apabila mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan, hari ini, atas pertuduhan alternatif melakukan pecah amanah pada 2014.

Tapak@Zamil bin Tingkah didakwa melakukan kesalahan itu antara 29 Ogos dan 14 September 2014 apabila diamanahkan dengan wang kutipan harian Tol Rasau berjumlah $12,300 milik JKR.

Dia didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yvonne Lim mengikut Seksyen 406 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun dan juga denda.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan pertama iaitu melakukan pecah amanah wang kutipan harian Tol Rasau yang diamanahkan ke atasnya selaku pegawai di jabatan itu.

Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon untuk pertuduhan pertama digugurkan apabila tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah, dan meminta mahkamah untuk menjatuhkan hukuman untuk tuduhan alternatif.

Tertuduh dalam rayuannya memohon maaf kepada pihak kerajaan atas perbuatannya dan memohon pertimbangan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman paling ringan kerana dia mempunyai isteri yang tidak bekerja dan salah seorang anaknya masih lagi bersekolah.

Fakta kes menyebut, sekitar 29 Ogos dan 14 September 2014, tertuduh menerima kutipan wang Tol Rasau daripada pemandu namun gagal untuk menyerahkannya kepada Unit Hasil, sebaliknya telah menyimpan duit kutipan harian itu untuk dirinya.

Perbuatannya bagaimanapun diketahui oleh pegawai atasannya pada 14 September 2014.

Siasatan mendapati tertuduh menggunakan duit itu untuk kegunaan perbelanjaannya.

Tertuduh bagaimanapun telah membuat pembayaran balik sepenuhnya kepada unit tersebut selepas laporan polis dibuat.

Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh telah pun membayar balik wang yang diamanahkan itu pada 29 September dan 8 November 2014, dan disahkan dalam memorandum yang dikeluarkan Ketua Pengarah JKR.

Hakim Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman menetapkan 28 September untuk sebutan hukuman.

ARTIKEL YANG SAMA