Hukuman Luis dikurangkan

Hukuman Luis dikurangkan

MADRID, 5 Feb – Hukuman gantung perlawanan terhadap pertahanan kiri Atletico Madrid, Filipe Luis yang didapati bersalah melakukan terjahan berbahaya ke atas bintang Barcelona, Lionel Messi dikurangkan kepada satu perlawanan berbanding tiga sebelum ini.

Ia disebabkan kejayaan kelab itu dalam proses rayuan mereka, semalam.

Luis terus dilayangkan kad merah sebelum babak pertama kerana melakukan terjahan kasar tepat ke lutut kiri Messi menggunakan butnya yang menyaksikan Atletico tewas 2-1 kepada Barcelona, minggu lalu.

Tindakannya pantas mencetuskan kemarahan bos Barca, Luis Enrique.

Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) pada awalnya berkata penggantungan itu dibuat atas ‘tahap serius’ terjahan terbabit.

Filipe Luis dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan berbahaya ke atas bintang Barcelona, Lionel Messi - Reuters
Filipe Luis dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan berbahaya ke atas bintang Barcelona, Lionel Messi – Reuters

Begitupun, Atletico mendakwa penggantungan itu terlalu berat dan membawa kes terbabit kepada Jawatankuasa Rayuan badan induk berkenaan.

Atletico begitupun tetap berdepan krisis di benteng pertahanan ketika pertembungan La Liga dengan Eibar, esok apabila dua tonggaknya, Diego Godin dan Juanfran turut digantung manakala Stefan Savic masih bergelut dengan masalah kecederaan paha. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA