Hukuman penjara atas dua kesalahan

Hukuman penjara atas dua kesalahan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman lima tahun dan tiga bulan penjara serta dua sebatan oleh Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dan mengambil dadah.

Untuk pertuduhan mencederakan, Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menjatuhkan 12 bulan penjara dan dua sebatan ke atas Asahrin bin Idris, 48, yang berdepan dakwaan mengelar siku tangan seorang lelaki menggunakan samurai pada 9 Disember.

Pertuduhan menyebut, tertuduh pergi ke rumah mangsa yang juga saudaranya di Kampung Salambigar pada 9 Disember kira-kira jam 3:30 pagi.

Sebaik mangsa tiba di kawasan rumahnya dan hendak keluar dari keretanya, tertuduh mengambil samurai yang diletakkan di tepi tempat duduk pemandu dan mengayunkannya ke arah mangsa.

Mangsa cuba mengelak daripada terkena namun samurai tersebut telah mengenai siku kanannya sebelum lari masuk ke rumahnya.

pg06_160101_mahkamah logo

Mangsa telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan laporan perubatan mengatakan bahawa dia mengalami luka ringan di siku kanan akibat benda tajam.

Tertuduh ditangkap sebaik mangsa membuat laporan polis.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim.

Untuk dakwaan mengambil dadah pada 6 Januari 2015, tertuduh dijatuhi empat tahun dan tiga bulan penjara oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid dalam bilik mahkamah yang lain.

Fakta kes menyebut, tertuduh ditahan oleh sepasukan pegawai Biro Kawalan Narkotik dalam serbuan di Jalan Batu Satu. Pemeriksaan badan yang dijalankan ke atasnya, meskipun tidak menemui sebarang peralatan mengambil dadah, namun sampel air kencing yang diambil daripada defendan setelah dianalisa didapati mengandungi dadah.

Tertuduh mengaku telah mengambil dadah jenis syabu seminggu sebelum ditangkap.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Narkotik, Ainorazimah binti Haji Zabidi.

ARTIKEL YANG SAMA