Hukuman penjara bekas Ketua Pengarah Imigresen kekal

Hukuman penjara bekas Ketua Pengarah Imigresen kekal

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 terhadap bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don kerana menerima rasuah untuk mempercepatkan kelulusan permohonan visa pekerja Bangladesh, tujuh tahun lepas.

Hakim Datuk Amelia Tee mengesahkan keputusan itu selepas menolak rayuan Wahid terhadap sabitan dan hukuman.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Wahid untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Beliau kemudian menaikkan jumlah jaminan daripada RM50,000 kepada RM100,000 dengan dua penjamin. Mahkamah mengarahkan Wahid, 62, membayar denda tersebut sebelum atau pada 4 Jan depan.

Dalam penghakimannya, Tee berkata selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati keterangan saksi pendakwaan tidak disangkal manakala keterangan saksi pembelaan adalah tidak tepat.

Tee berkata mahkamah mendapati tiada bayaran perlu dibuat untuk meluluskan permohonan visa bagi 4,337 pekerja Bangladesh.

Pada 30 Okt ober2013, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Wahid bersalah menerima suapan berjumlah RM60,000 daripada ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian sebagai upah untuk mempercepatkan kelulusan permohonan visa pekerja tersebut. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang off Jalan Duta di sini pada 10 Julai 2008.

Pada 15 Okt 2010, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Wahid tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan sama selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membukti kes prima facie dan kemudian Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu pada 31 Mei 2012.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2 April 2013 memerintahkan Wahid untuk membela diri atas tuduhan itu selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).